Mahkamah AS putuskan sebahagian besar tarif global Trump tidak sah

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON - Mahkamah Rayuan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah memutuskan bahawa sebahagian besar tarif global yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah, sekali gus memberi tamparan besar kepada dasar perdagangan unilateral pentadbiran beliau.

Dalam keputusan 7-4 yang diumumkan pada Jumaat, mahkamah menyatakan bahawa Trump telah melampaui kuasa eksekutifnya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mengenakan tarif ke atas hampir semua rakan dagang AS, termasuk China, Mexico dan Kanada.

Panel hakim menegaskan bahawa IEEPA tidak menyebut secara jelas kuasa untuk mengenakan tarif atau cukai, dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai asas undang-undang untuk tindakan tersebut.

“Kuasa mengenakan tarif adalah hak mutlak Kongres,” menurut penghakiman rasmi mahkamah.

Tarif yang diputuskan sebagai tidak sah termasuk “tarif timbal balik” sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas hampir semua negara, serta tarif tambahan terhadap negara tertentu atas alasan keselamatan dan kawalan dadah.

Bagaimanapun, tarif lain seperti yang dikenakan ke atas import keluli dan aluminium tidak terjejas kerana ia dilaksanakan di bawah undang-undang berbeza.

Trump mengecam keputusan itu di platform Truth Social, menyifatkannya sebagai “satu bencana” dan berikrar untuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung.

“Jika keputusan ini dibenarkan, ia akan memusnahkan Amerika Syarikat,” tulis beliau.

Pentadbiran Trump diberi tempoh sehingga 14 Oktober untuk memfailkan rayuan, dan buat masa ini tarif berkenaan masih kekal berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya Mahkamah Agung mengekalkan keputusan ini, ia boleh membuka jalan kepada tuntutan ganti rugi oleh syarikat-syarikat yang terjejas akibat tarif tersebut.

Keputusan ini berpotensi mengubah landskap perdagangan antarabangsa AS, yang selama ini bergantung kepada tarif sebagai alat tekanan politik dan rundingan semula perjanjian dagangan.

Ia juga menimbulkan persoalan besar tentang had kuasa eksekutif dalam menetapkan dasar ekonomi luar negara. - Awani

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!