Mahkamah Rayuan AS tolak permohonan Trump tamatkan status sah 400,000 migran

ISTANBUL - Mahkamah rayuan persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menolak permohonan pentadbiran Donald Trump untuk menamatkan status sah sementara ratusan ribu migran dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela yang menetap di AS, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Newsweek.
Mahkamah Rayuan Persekutuan Litar Pertama AS yang berpangkalan di Boston enggan menangguhkan keputusan mahkamah rendah yang menghalang Jabatan Keselamatan Dalam Negeri daripada menamatkan program parol kemanusiaan yang membenarkan migran berkenaan terus tinggal di AS, menurut laporan itu.
Program parol yang diperkenal semasa pentadbiran bekas Presiden AS Joe Biden, membolehkan migran dari negara seperti Ukraine, Afghanistan, Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela memasuki AS secara sah untuk tempoh sementara.
Pada 25 Mac lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengumumkan rancangan untuk menamatkan parol selama dua tahun yang sebelum ini diberikan kepada kira-kira 400,000 migran dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela.
Keputusan mahkamah itu dibuat susulan saman yang difailkan oleh kumpulan peguam bela hak migran terhadap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Menurut Newsweek, pentadbiran Trump berkemungkinan akan membawa rayuan kes itu ke Mahkamah Agung AS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
