Iran tidak gentar ugutan AS

PARIS – Iran pada Ahad menolak sekeras-kerasnya ugutan Amerika Syarikat (AS) dan menegaskan tidak akan sekali-kali melepaskan haknya untuk memperkaya uranium dalam rundingan dengan Washington, sambil menolak sebarang cubaan intimidasi termasuk ancaman peperangan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Teheran tidak akan tunduk kepada tekanan ketenteraan AS, meskipun Washington sebelum ini mengancam untuk campur tangan susulan tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan antikerajaan.
Berucap dalam satu forum di Teheran yang dihadiri AFP, Araghchi menyatakan Iran mempunyai tahap kepercayaan yang rendah terhadap Washington dan meragui kesungguhan pihak AS dalam menyertai rundingan baharu secara jujur.
Beliau turut memaklumkan Iran sedang berunding dengan 'rakan strategiknya', China dan Rusia, berhubung proses perundingan tersebut.
“Mengapa kami begitu bertegas mempertahankan pengayaan uranium dan enggan melepaskannya, walaupun peperangan dipaksakan ke atas kami? Kerana tiada sesiapa berhak menentukan tingkah laku kami.
“Penempatan ketenteraan mereka di rantau ini tidak menakutkan kami,” katanya, merujuk kepada kehadiran kapal pengangkut pesawat AS, USS Abraham Lincoln, di Laut Arab.

AS dan Iran menyambung semula rundingan pada Jumaat lalu di Oman, buat kali pertama sejak perang 12 hari Israel terhadap republik Islam itu pada Jun tahun lalu, yang turut disertai AS.
Iran berusaha mendapatkan penghapusan sekatan ekonomi AS sebagai pertukaran kepada apa yang digambarkan Araghchi sebagai “satu siri langkah pembinaan keyakinan berkaitan program nuklear”.
Negara Barat dan Israel — yang dipercayai satu-satunya negara di Asia Barat memiliki senjata nuklear — mendakwa Iran berusaha membangunkan bom atom, tuduhan yang dinafikan Teheran.
“Mereka takutkan bom atom kami. Bom atom kami ialah keupayaan untuk mengatakan ‘tidak’ kepada kuasa besar,” kata Araghchi.
AS dan Israel mahu rundingan diperluaskan meliputi isu peluru berpandu balistik Iran serta sokongannya terhadap kumpulan bersenjata di rantau ini, namun Teheran menolak untuk memasukkan isu tersebut dalam perbincangan.

Keamanan melalui kekuatan
Ketua perunding AS, Steve Witkoff, bersama menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, melawat kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln pada Sabtu, menurut Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM).
Kapal itu dihantar ke Asia Barat beberapa minggu lalu sebagai sebahagian daripada peningkatan kehadiran ketenteraan susulan ancaman Presiden Donald Trump terhadap Iran.
Dalam satu hantaran di media sosial, Witkoff berkata, kumpulan kapal serangan itu “menjamin keselamatan dan menegakkan mesej Presiden Trump mengenai keamanan melalui kekuatan”.
Ancaman peperangan terus membayangi rundingan, walaupun Trump menyifatkan perbincangan itu sebagai 'sangat baik', manakala Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata ia 'merupakan satu langkah ke hadapan'.

Susulan pusingan pertama rundingan di Oman, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi mengenakan tarif baharu ke atas negara-negara yang masih menjalankan urus niaga dengan Iran.
AS turut mengumumkan sekatan baharu terhadap beberapa entiti perkapalan dan kapal, dengan tujuan mengehadkan eksport minyak Iran.
Dalam forum di Teheran itu, Araghchi berkata,sekatan berterusan dan tindakan ketenteraan “menimbulkan keraguan terhadap kesungguhan serta kesiapsiagaan pihak lawan untuk menjalankan rundingan sebenar”.
Rundingan antara kedua-dua musuh itu berlangsung ketika AS meningkatkan tahap kesiapsagaan ketenteraanya di Laut Arab.- AFP
Ringkasan AI
- Iran menolak ugutan Amerika Syarikat dan menegaskan haknya untuk memperkaya uranium
- Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyatakan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan ketenteraan AS
- Iran berunding dengan China dan Rusia mengenai proses perundingan
- AS dan Iran menyambung semula rundingan di Oman berusaha mendapatkan penghapusan sekatan ekonomi AS
- Ancaman peperangan terus membayangi rundingan, walaupun Presiden Trump dan Presiden Iran menyatakan pandangan positif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

