JAS kompaun pemilik premis sebabkan pencemaran bau

Laporan Sinar Harian Online kelmarin.
Laporan Sinar Harian Online kelmarin.
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengeluarkan 30 kompaun dengan nilai keseluruhan RM60,000 kepada pemilik premis di Kampung Sungai Dua, Rawang yang menyebabkan pencemaran bau hingga mengakibatkan gangguan air tidak berjadual di tujuh kawasan pada Selasa lalu.

JAS menerusi satu kenyataan memaklumkan ketika operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan semalam, pihaknya mendapati premis terbabit melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Menurut kenyataan itu, pemilik premis didapati tidak menguruskan minyak enjin terpakai dan pelarut dengan baik serta tidak menyelenggara perangkap minyak sehingga menyebabkan longkang air hujan dicemari sisa minyak bercampur pelarut.

"Sampel buangan diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi buangan. JAS Selangor juga sedang menyediakan kertas siasatan bagi pendakwaan di bawah Seksyen 16(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ke atas sebuah lagi premis yang beroperasi di kawasan Rawang Integrated Industrial Park.

"Tindakan penguatkuasaan ke atas lain-lain punca yang berpotensi mencemar sungai akan diteruskan bagi mencegah berulangnya hentitugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pada masa kini, tumpuan diberi kepada 21 premis yang terletak dalam lingkungan satu kilometer radius dari lokasi pencemaran bau dikesan.

JAS dalam pada itu mengingatkan selain tindakan mahkamah, tangkapan boleh dibuat kepada mana-mana pihak yang melakukan pencemaran atau disyaki melakukan pencemaran di bawah peruntukan Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"JAS akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi membanteras pencemaran sumber air melalui pendekatan secara bersepadu, perkongsian data raya, penggunaan teknologi bagi mengesan kes pencemaran seperti dron dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran di seluruh negara berjalan seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Tangkapan ke atas pesalah alam sekitar di bawah peruntukan Seksyen 37C Akta juga boleh diambil tanpa waran. Ini bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat khususnya tetap terpelihara daripada ancaman pencemaran," menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan berlaku gangguan bekalan air melibatkan tujuh kawasan iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat Selasa lalu.

Ia berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihentitugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan bekalan air di tujuh wilayah Selangor, KL