Ibu tawar ganjaran rumah cari anak diculik 26 tahun lalu

Pasangan itu berikrar terus mencari Wang Lei sehingga dijumpai. Agensi
Pasangan itu berikrar terus mencari Wang Lei sehingga dijumpai. Agensi
A
A
A

SHANGHAI - Seorang ibu di Shanghai sanggup menawarkan sebuah flat miliknya sebagai ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menjejaki anak lelakinya yang diculik 26 tahun lalu.

Tang Weihua bersama suaminya, Wang Jie, tidak pernah berhenti mencari anak tunggal mereka, Wang Lei yang diculik pada tahun 1999 ketika berusia empat tahun.

Tang yang berusia 55 tahun mempunyai 1.2 juta pengikut di media sosial mengumumkan flat berkenaan akan dijadikan ganjaran kepada sesiapa yang mampu memberikan petunjuk sahih mengenai anaknya.

Kediaman tersebut sebelum ini dimiliki datuk Wang Lei yang sudah meninggal dunia.

Tang berkata, hasrat terakhir lelaki itu adalah untuk melihat cucu tunggalnya kembali ke pangkuan keluarga.

Di Shanghai, harga rumah mencecah lebih 100,000 yuan (RM58,000) bagi setiap meter persegi, menjadikan tawaran tersebut sangat besar nilainya.

Kisah pengorbanan Tang itu pantas menarik perhatian ramai netizen di China, dengan sebahagian mula menghantar gambar individu yang mirip wajah Wang Lei semasa kecil.

Difahamkan, Tang dan keluarganya ketika itu menjalankan perniagaan kedai elektrik dan dianggap agak senang.

Namun, seorang lelaki bernama Lu yang diambil bekerja untuk membantunya kemudian menculik Wang Lei.

Artikel Berkaitan:

Lu pada awalnya cuba menghubungi Tang untuk meminta wang tebusan, namun panggilannya tidak dijawab kerana keluarga terlalu sibuk mencari anak mereka.

Lelaki itu membawa Wang Lei ke wilayah Guangxi sebelum ditahan polis sebulan kemudian kerana kesalahan mencuri.

Dia mengaku menculik Wang Lei tetapi enggan mendedahkan lokasi kanak-kanak tersebut.

Lu dihukum penjara seumur hidup, namun dibebaskan lebih awal pada 2022 kerana berkelakuan baik.

Setahun selepas itu, Tang cuba memujuk Lu membawanya menjejaki semula laluan yang digunakannya ketika menculik Wang Lei di Guangxi, namun semua maklumat diberikan ternyata sia-sia.

Sejak dua dekad lalu, Tang tidak pernah putus asa berkunjung ke penjara dan keluarga Lu dengan harapan mendapat sebarang petunjuk mengenai anaknya.

Dia mengakui membenci lelaki itu, namun tekad menemukan semula anaknya lebih penting daripada perasaan benci.

Tang mendakwa sudah membelanjakan empat juta yuan (RM2.35 juta) untuk mencari Wang Lei dan berikrar pencarian itu hanya akan berhenti selepas hayatnya berakhir.

Kempen pencarian kanak-kanak hilang di China semakin diperkasa selepas kerajaan melancarkan Tuanyuan (Reunion) Campaign pada 2021 yang menggalakkan individu meragui asal-usul mereka untuk menyerahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kepada pihak berkuasa.

Beberapa kanak-kanak berjaya ditemui semula termasuk kes terkenal pada Disember 2021 apabila Sun Haiyang dipertemukan kembali dengan anaknya, Sun Zhuo.

Kisah kecekalan Tang menyentuh hati banyak pihak di media sosial.

“Pemerdagang manusia sudah mulakan hidup baharu, tetapi keluarga mangsa masih menderita,” tulis seorang netizen.

“Awak sudah lakukan segalanya untuk mencari anak, tetapi jangan lupa untuk jaga kesihatan. Saya yakin anak awak juga mahu yang terbaik untuk awak, di mana pun dia berada,” tulis yang lain. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!