Budak dua tahun tinggal bersama mayat ibu

Budak dua tahun terpaksa tinggal bersama mayat ibunya selama beberapa hari. Foto Agensi.
Budak dua tahun terpaksa tinggal bersama mayat ibunya selama beberapa hari. Foto Agensi.
A
A
A

ZHEJIANG - Seorang ibu tunggal berusia 28 tahun ditemui mati di rumahnya di wilayah Zhejiang baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, anak lelakinya berusia dua tahun terpaksa tinggal bersama mayat ibunya selama beberapa hari.

Menurut Biro Keselamatan Awam Cangnan di Wenzhou, wanita itu meninggal dunia secara mengejut pada Ahad lalu.

Anak kecilnya yang tidak mampu mendapatkan bantuan dipercayai berada bersama mayat ibunya sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari sebelum jiran yang curiga dengan bau pelik memaklumkan kepada polis.

Polis yang tiba di lokasi mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan trauma dengan kesan najis pada badannya.

Dia segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami kecederaan fizikal.

Pihak berkuasa tempatan termasuk Persekutuan Wanita Daerah Cangnan, balai polis dan kerajaan tempatan kemudian campur tangan untuk memastikan kebajikan kanak-kanak itu, dengan mengutamakan penjagaan sementara oleh bapa saudaranya.

Usaha turut dilakukan bagi menghubungi bapa kanak-kanak tersebut yang bekerja di luar daerah dan telah lama berpisah dengan ibu mangsa.

Selepas pemeriksaan perubatan, kanak-kanak itu akhirnya dikembalikan ke pangkuan bapanya.

Artikel Berkaitan:

Polis mengesahkan wanita berkenaan yang telah bercerai tinggal bersama anaknya sebelum kejadian.

Siasatan berhubung punca kematian masih diteruskan.

Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai menghormati si mati, melindungi privasi kanak-kanak, tidak menyebarkan gambar atau video serta mengelakkan maklumat palsu di media sosial. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!