Lelaki miliki 23 rekod lampau dicekup, polis temui pistol dan peluru dalam kereta

M Kumar menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
M Kumar menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sepucuk pistol separa automatik dan 175 butir peluru hidup antara yang ditemui polis selepas menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Alor Bukit di sini pada 14 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kereta jenis Mazda 5 itu dinaiki seorang lelaki bersama dua wanita tempatan berusia antara 18 hingga 42 tahun sebelum ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira jam 1.20 pagi.

"Hasil pemeriksaan terhadap beg milik suspek lelaki menemukan beberapa peket plastik berisi dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil ekstasi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan pula menemukan sepucuk pistol separa automatik 9mm, selaras peredam bunyi, satu kelopak peluru serta 175 butir peluru hidup yang disembunyikan di bonet hadapan kereta,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.

M Kumar menunjukkan bonet kereta suspek yang dijadikan tempat untuk menyorokkan pistol.
M Kumar menunjukkan bonet kereta suspek yang dijadikan tempat untuk menyorokkan pistol.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Menurutnya lagi, semakan rekod mendapati suspek lelaki memiliki 23 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah, manakala dua wanita terbabit masing-masing mempunyai dua dan 17 rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan morfin, sementara kedua-dua wanita negatif dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mengaitkan lelaki itu dengan kejadian samun sebuah klinik swasta di Masai, Johor Bahru pada 19 Julai lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek bertindak masuk ke dalam klinik seorang diri sebelum mengacukan pistol ke arah seorang wanita berusia 43 tahun sambil mengarahkan mangsa memasukkan wang tunai dan barang kemas ke dalam beg.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal selepas melepaskan satu das tembakan.

"Pemeriksaan polis ke atas beg sandang yang ditinggalkan di lokasi menemukan beberapa peket dadah disyaki heroin,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Senjata Api dan Seksyen 8 (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!