Ibu Syamsul Haris hargai sokongan orang ramai

KAJANG – “Alhamdulillah, urusan berjalan lancar, saya berpuas hati dan amat berterima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan serta semangat.”
Demikian reaksi Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin selepas selesai proses penggalian semula kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, di sini pada Jumaat.
Ummu Haiman turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberi dorongan moral ketika proses berkenaan berlangsung.
Menurutnya, sokongan berterusan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung keluarga sepanjang menantikan keadilan buat anak bongsunya itu.
"Sekarang kami hanya menunggu keputusan bedah siasat kedua, semoga semuanya dipermudahkan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di sini pada Jumaat.
Terdahulu, proses penggalian semula kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) berusia 22 tahun itu selesai kira-kira jam 9 pagi.
Van yang membawa jasad Syamsul Haris dilihat keluar dari kawasan tanah perkuburan pada jam 9.37 pagi sebelum dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani proses bedah siasat kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

