Inkues kes kematian Syamsul Haris perlu diadakan segera – Peguam

Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh.
Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh.
A
A
A

KAJANG – Jabatan Peguam Negara diminta untuk mengadakan inkues segera melibatkan kes pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Peguam keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, pihaknya berharap agar arahan untuk mengadakan inkues segera dikeluarkan selepas selesai proses bedah siasat kedua.

"Walaupun pada awalnya pihak Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri membantah pelaksanaan bedah siasat itu, akhirnya ia berjaya dijalankan selepas mahkamah mengeluarkan arahan.

"Saya berharap selepas ini inkues juga akan diwajibkan agar kebenaran dapat dicapai, sama seperti kes Zara dahulu di mana hanya selepas bedah siasat kedua dijalankan, barulah kecederaan sebenar dapat dikenal pasti," katanya dalam sidang akhbar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di sini pada Jumaat.

Katanya, beliau sendiri pernah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara mengenai perkara itu sebelum ini, namun tiada jawapan diterima.

"Perkembangan terbaru ini seharusnya membuka ruang kepada inkues supaya punca sebenar kematian Allahyarham dapat didedahkan.

Dalam masa sama, beliau turut menyerahkan satu rakaman audio beserta transkrip kepada pihak berkuasa yang dipercayai mampu membantu siasatan dengan mendedahkan pihak yang terlibat.

Menurut Naran, ibu Allahyarham sangat terkesan dengan laporan bercanggah yang diterima yang mengatakan anaknya meninggal akibat sawan selain ada yang mendakwa berlaku pergaduhan.

"Sudah tentu mana-mana ibu akan gelisah dan mahukan jawapan sebenar, mengikut arahan mahkamah, proses bedah siasat kedua akan turut disaksikan beliau, ibu Allahyarham serta pakar forensik keluarga dengan kebenaran untuk berada sepanjang prosedur dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Pepatah Melayu ada menyebut genggam bara api biar sampai jadi abu, inilah perjuangan keluarga Allahyarham," katanya.

Naran berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak media yang terus membuat liputan kes berkenaan.

"Tanpa laporan media, masyarakat tidak akan mengetahui perkembangan sebenar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!