Kubur Syamsul Haris akan digali semula Jumaat ini

KUALA LUMPUR - Penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin ditetapkan pada Jumaat ini.
Menerusi perkongsian status WhatsApp terbaharu ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, proses itu akan diadakan pada 29 Ogos 2025 (Jumaat), jam 8 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
“Mohon hadir ramai-ramai. Terima kasih atas sokongan dan motivasi,” tulisnya ringkas pada Rabu.
Sebelum ini, Ummu Haiman memaklumkan keluarga masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berhubung tarikh dan masa penggalian semula meskipun mahkamah sudah mengeluarkan arahan.
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa lalu memerintahkan penggalian semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.
Semasa membacakan keputusan, beliau berkata Ketua Polis Negara (KPN) selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung kepada seorang guru itu yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.
Proses itu turut disertai peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

