Kubur Syamsul Haris digali: Keluarga, orang ramai penuhi sekitar kawasan perkuburan

KAJANG – Suasana di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di sini pada Jumaat mula dipenuhi orang ramai susulan penggalian semula kubur seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Ahli keluarga mangsa dilihat hadir seawal jam 7 pagi, sementara proses penggalian dijangka bermula sekitar jam 8.30 pagi bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan.
Ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, turut kelihatan memasuki kawasan tanah perkuburan kira-kira jam 7.40 pagi.
Turut hadir ialah petugas perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, termasuk Unit Forensik dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Selepas proses penggalian selesai, jenazah akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat kali kedua.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi turut mendapati kawalan ketat turut dijalankan pihak polis bagi memastikan urusan penggalian dijalankan dengan sempurna.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selasa lalu mengarahkan supaya jenazah Syamsul Haris, 22, digali semula secepat mungkin.
Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan sama pada 28 Julai lalu selepas meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, sehari selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini memaklumkan bahawa polis akan membantu sepenuhnya proses tersebut termasuk penggalian semula, mengiringi jenazah ke hospital, memantau proses bedah siasat, serta mengawal selia pengebumian semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

