Keputusan gali kubur pelatih Palapes Syamsul Haris esok

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin boleh digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dibuat, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan notis permohonan oleh peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 selaku pemohon.
“Saya memerlukan masa untuk mendengar rakaman video yang difailkan pihak pemohon, mahkamah akan putuskan keputusan itu esok.

Kata hakim, selepas hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin bagi pihak KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail selaku responden pertama sementara Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh untuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar (responden kedua).
Semasa hujahan, Naran berkata, berdasarkan gambar yang diambil anak guam sebelum bedah siasat, jelas menunjukkan terdapat kecederaan di dada dan mata.
Beliau juga percaya, wujud kesan pukulan dari objek tumpul dan tanda disyaki tikaman di leher.
Menurutnya, hidung mangsa juga kelihatan tidak lurus seakan-akan patah selain mata kanannya lebam dengan warna kebiru-biruan.
“Saya juga menghujahkan pegawai penyiasat kes telah cuai dan tidak jalankan tugas.
“Kami tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi nampaknya ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu,” katanya.
Beliau turut meminta mahkamah membayangkan perasaan seorang ibu, apabila dia baru sahaja kehilangan suami pada Disember tahun lalu, disusuli dengan kejadian yang meragut nyawa anak sulungnya pada bulan lalu.
Sedangkan katanya, pemohon telah menerima jasad mangsa yang penuh dengan kesan kecederaan namun diberitahu bahawa punca kematian anak yang baharu mencecah usia 22 tahun itu, sebagai mati mengejut.
Justeru katanya, kubur mangsa wajar digali semula supaya dapat mengenal pasti punca kecederaan ini berlaku selain pelaku yang melakukannya.
Bagaimanapun, Nurul Huda membantah permohonan berkenaan dan mahkamah wajar menolak hujahan pemohon kerana ia bersifat spekulasi.
“Lebih-lebih lagi dakwaan pemohon bahawa wujud kesan kecederaan di mata dan dada.
“Perkara berkenaan belum dinyatakan di peringkat ini kerana kita perlu menunggu laporan bedah siasat daripada pihak perubatan,” katanya yang hadir bersama Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Ilmami Ahmad.
Justeru beliau berkata, hujahan mereka ialah pramatang kerana hanya pegawai perubatan sahaja yang boleh mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau turut membantah permohonan bagi mendapatkan gambar siasatan sebelum bedah siasat dijalankan kerana ia boleh mengganggu siasatan kes berkenaan kelak.
Sementara itu, Kalmizah berkata, kes ini belum lengkap kerana berada di peringkat penyediaan laporan bedah siasat.
Katanya, tanpa laporan kimia, punca kematian tidak boleh diputuskan.
“Kami juga menghujahkan, dua doktor yang melakukan bedah siasat merupakan kakitangan hospital yang berkelayakan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih Palapes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
