'Kita sepatutnya kejar Piala Dunia, bukan masalah kepimpinan dalaman'

KETIADAAN alasan kukuh berhubung peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Situasi itu dianggap pelik apabila Joehari yang baharu sahaja menang tanpa bertanding pada Februari lalu, tiba-tiba mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, tindakan FAM yang tidak menjelaskan punca sebenar menyebabkan timbul persepsi wujud sesuatu yang tidak kena dalam kepimpinan badan induk itu.
“Saya rasa ini satu perkara yang amat malang dalam sejarah bola sepak Malaysia kerana ia langsung tidak membantu dalam pembangunan bola sepak negara.
“Ketika kita sepatutnya mencipta pencapaian positif seperti layak ke Piala Dunia atau menjulang Piala Asia, kita sebaliknya terus dibelenggu dengan kemelut kepimpinan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Rabu, Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025–2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya mengesahkan penerimaan peletakan jawatan Joehari.
Berikutan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sah dilantik sebagai Pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, Mohd Sadek menegaskan jawatan nombor satu FAM perlu diserahkan kepada individu yang benar-benar layak untuk mengelakkan kemelut sama berulang.
“Jawatan ini tidak semestinya diberikan kepada institusi diraja atau ahli politik. Ia wajar diisi oleh individu profesional yang memahami tadbir urus serta undang-undang buruh negara supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan jika gagal.
“Buat masa ini, FAM masih beroperasi dalam kelompok yang sama. Sudah sampai masanya ia dipimpin oleh orang yang benar-benar ada kredibiliti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
