Siapa pengganti Joehari?

Mesyuarat Eksekutif Khas FAM berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mesyuarat Eksekutif Khas FAM berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
A
A
A

Desas-desus mengenai peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka terjawab apabila Mesyuarat Eksekutif Khas badan induk itu berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Menurut sumber, agenda utama mesyuarat berkenaan adalah untuk membincangkan dan mengesahkan surat peletakan jawatan Joehari yang dikatakan telah diserahkan pada Jumaat lalu.

Selain itu, FAM turut perlu mengadakan Kongres Luar Biasa dalam tempoh tiga bulan seperti yang termaktub dalam statut persatuan berkenaan.

Joehari, yang dipilih tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM Februari lalu bagi penggal 2025–2029, merupakan presiden kelapan serta individu pertama dari Sabah yang menerajui badan bola sepak negara. Beliau menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang kini memegang jawatan Presiden Kehormat FAM.

Kekosongan yang ditinggalkan Joehari dijangka dipangku oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sehingga Kongres Pemilihan baharu diadakan.

Tinjauan di laman sosial rasmi FAM pula mendapati status terakhir mengenai Joehari adalah rakaman penghargaan apabila beliau dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk, sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

Sebagai rekod, pada 11 Ogos lalu Joehari masih mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Pertama FAM bagi penggal 2025–2029 yang turut dihadiri Hamidin selaku Presiden Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Bebas, selepas pelantikan jawatan itu diluluskan dalam Kongres Luar Biasa Pertama FAM 2025 pada 30 Jun di Subang Jaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!