Memerangi rasuah juga tindakan patriotik

AHAD ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68.
Ramai yang bersemangat meraikannya dengan memasang Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing.
Suasananya tampak lebih meriah di bangunan kerajaan dan premis perniagaan yang tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan.
Semuanya dilakukan atas dasar cinta, kasih dan sayang terhadap bumi bertuah yang menaungi rakyat berbilang bangsa.
Namun, tidak semua rakyat mempunyai semangat dan rasa cinta yang sama terhadap negara ini.
Masih terdapat segelintir di luar sana yang hidup hanya untuk mengambil kesempatan ke atas kekayaan negara.
Tanpa segan silu mereka berterusan menjarah perbendaharaan negara untuk kepentingan dan kesenangan peribadi.
Ini terbukti menerusi beberapa siri tangkapan kes rasuah yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat akhir-akhir ini.
Hampir setiap hari ada sahaja muka-muka baharu sama ada tua, muda, lelaki ataupun wanita yang direman dan didakwa kerana menyeleweng.
Lebih membimbangkan apabila mereka itu adalah kalangan penjawat awam yang memegang amanah untuk menjaga keselamatan negara dan rakyat.
Dianggarkan, lebih 20 penjawat awam telah ditahan kerana terlibat dengan gejala rasuah sepanjang Ogos tahun ini.
Majoritinya adalah anggota keselamatan terdiri daripada polis, kastam, imigresen dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pada 6 Ogos, seramai 10 orang anggota polis ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi melindungi aktiviti jenayah.
Seterusnya pada 13 Ogos, seramai 11 pegawai kastam ditahan berkaitan kes rasuah membabitkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang.
Kes tangkapan anggota keselamatan dilaporkan lagi pada 20 Ogos apabila dua pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur direman kerana disyaki meminta rasuah sebanyak RM400,000.
Sementara itu pada 25 Ogos pula seorang pegawai kanan gred Jusa B yang berkhidmat dengan PBT di ibu negara ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah sejak 2014.
Berita penangkapan mereka itu bukan lagi rahsia kerana telah tersebar dengan meluas sehingga menjejaskan imej Malaysia sebagai negara berdaulat.
Sedih tatkala membaca berita tersebut kerana bulan kemerdekaan yang sepatutnya diraikan dengan semangat cinta, kasih dan sayang terhadap negara dicemari elemen khianat yang boleh menjahanamkan negara.
Tidak dinafikan, rasuah dalam kalangan penjawat awam bukan lagi perkara baharu dan telah disahkan berleluasa sejak sedekad yang lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penjawat awam merangkumi kumpulan terbesar dalam kes menerima rasuah yang mana sejumlah 2,965 orang telah ditahan antara 2015 dan 30 Jun tahun ini.
Perkara tersebut perlu dipandang serius kerana rasuah ialah salah satu perbuatan yang tidak patriotik.
Justeru, membanteras amalan tersebut juga boleh disamakan dengan tindakan memerangi penjajah yang cuba mengganggu gugat keamanan negara.
Seeloknya inisiatif berkenaan diterapkan dalam diri setiap rakyat di negara ini lebih-lebih lagi pada bulan kemerdekaan.
Mereka perlu diberitahu bahawa memerangi rasuah juga merupakan tindakan patriotik yang memartabatkan kedaulatan negara. Ia tiada bezanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang kerana kedua-duanya meniupkan semangat cinta, kasih dan sayang terhadap negara.
Tapi tiada gunanya bercerita tentang patriotisme kalau rasuah terus dibiarkan berakar umbi dalam sistem pentadbiran negara yang mana semua orang tahu kesan dan akibatnya.
Jadi, sama-samalah terus berjuang memerangi rasuah sehingga negara kita juga merdeka daripada amalan tidak berguna yang boleh melemahkan rakyat.
* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
