Reformasi institusi perlu disegerakan - KRPPM-IGAR

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyegerakan beberapa reformasi penting termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI), pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) serta penubuhan Ombudsman Malaysia bagi memperkukuh ketelusan dan integriti institusi negara.
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, FOI wajar digubal bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang sudah lama, terlalu luas dan tidak lagi sejajar dengan piawaian antarabangsa.
"Kerajaan perlu mengambil kira syor-syor daripada mereka iaitu penggubalan undang-undang kebebasan maklumat itu perlu berteraskan hak rakyat dan menamatkan kebergantungan terhadap pendekatan kerahsiaan diamalkan di bawah akta rahsia rasmi sebab ia terlalu umum.
"Seterusnya, sebarang reformasi FOI perlu merangkumi klausa kepentingan awam yang kukuh, pengecualian maklumat ditakrifkan secara khusus serta prosedur jelas untuk menyahklasifikasi maklumat termasuk dalam hal perolehan dan pertahanan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkaitan Perkembangan dan Perluasan Cadangan Reformasi Institusi di Parlimen pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.
Syed Ibrahim berpandangan, Suruhanjaya Maklumat bebas juga perlu ditubuhkan bagi mentadbir hak tersebut termasuk kuasa memutuskan aduan, menjalankan audit serta membangunkan platform digital yang selamat.
"Suruhanjaya terbabit mesti bebas daripada pengaruh luar dan melapor terus kepada Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN)," ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, terdapat cadangan supaya DPA diperkenalkan melalui pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelang pertengahan 2026.
Katanya, pihak mereka menyokong cadangan itu dengan syarat ia memberi penekanan kepada kawal selia kukuh serta kaedah semak dan imbang.
"Langkah terbabit perlu khususnya mempercepatkan pemulihan aset dan mengurangkan tempoh perbicaraan.
"Bagaimanapun, pengakuan salah korporat wajar menjadi syarat dan DPA tidak boleh menjadi alat perlindungan kepada pesalah bagi mengelakkan persepsi bayar untuk bebas," ujarnya.
Justeru, beliau berkata, KRPPM-IGAR mengesyorkan beberapa syarat perlu diberi perhatian termasuklah syarikat terlibat dalam kesalahan mesti membuat pengakuan salah secara rasmi.
Tegasnya, pelaksanaan DPA juga tidak boleh melindungi individu bersalah, malah perlu dipantau secara telus dengan pengawasan kehakiman, senarai awam DPA dan laporan tahunan.
Menurut Syed Ibrahim, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya wajar dipisahkan bagi mengelakkan konflik kepentingan, manakala pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperkukuh agar bebas daripada pengaruh politik.
Katanya, pihak mereka turut menekankan keperluan menggubal akta khas berkaitan DPA untuk menjamin ketelusan dan ketegasan undang-undang, bukan sekadar bergantung pada pindaan Akta SPRM.
Menyentuh mengenai Ombudsman Malaysia, Syed Ibrahim berkata, pihak mereka berharap institusi itu ditubuhkan sebagai badan bebas memantau dan menyelesaikan aduan salah tadbir dalam sektor awam.
Beliau menjelaskan, Ombudsman berupaya memperkukuh integriti perkhidmatan awam selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pengurusan aduan negara, sekali gus menjadi langkah penting untuk mewujudkan sistem pemantauan aduan rakyat terhadap salah laku, salah tadbir dan sebagainya.
Justeru, katanya, beberapa perkara dapat diteliti seperti takrif jelas istilah salah tadbir, penyelarasan dengan badan sedia ada seperti Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), koordinasi antara kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT serta kuasa siasatan lebih luas.
"Ombudsman perlu diberikan kuasa siasatan luas dan efektif termasuk memulakan siasatan atas inisiatif sendiri, memasuki premis tanpa notis awal dan mengakses sebarang dokumen.
"Dalam perkembangan sama, KRPPM-IGAR turut menyarankan semakan semula definisi salah laku dalam Akta 700 EAIC dan pembahagian bidang kuasa jelas antara Ombudsman dengan Unit Integriti kementerian," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

