RUU PSB: Kerajaan bakal pinda beberapa fasal - Kor Ming

KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal memperkenalkan pindaan terhadap beberapa peruntukan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan mengambil berat akan keresahan yang dibangkitkan pelbagai pihak mengenai komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
"Lanjutan daripada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda fasal ini (fasal 18) dengan sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat.
“Ia tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara," katanya semasa bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat di sini pada petang Khamis.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu memaklumkan, kementeriannya juga akan meminda fasal 19 RUU berkenaan berkait dengan nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.
Katanya, nilai ambang persetujuan itu akan dinaikkan sebagai menghormati pandangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang diberikan dalam sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.
"Kesemua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan. Dengan kenaikan nilai ini daripada 75 peratus, masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak-pihak yang terlibat di samping mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk," katanya.
Menurut Kor Ming, aspek lain yang diambil kira ialah isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, isu hak milik yang mengalami pinjaman tidak berbayar daripada institusi kewangan, isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli atau pemegang perjanjian jual beli serta isu pemilik asal tidak dapat dikesan.
Terdahulu, kerajaan menangguhkan perbahasan RUU PSB tersebut ke persidangan Dewan Rakyat seterusnya iaitu pada Oktober depan ekoran mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.
Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada penangguhan berkenaan disebabkan bantahan terhadap RUU tersebut atau dipengaruhi perkara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

