Bangga jadi saksi detik bersejarah laungan merdeka 31 Ogos 1957

Abd Khalil menunjukkan koleksi kamera yang dimilikinya.
Abd Khalil menunjukkan koleksi kamera yang dimilikinya.
A
A
A

SEREMBAN - “Detik jam 12 malam, laungan ‘Merdeka’ berkumandang. Semangat kami membuak-buak apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan. Rasa bangga dan sebak ketika itu hingga menitik air mata.”

Demikian luahan Abd Khalil A Rahim, 87, yang menjadi saksi kepada detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan negara pada tengah malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.

Abd Khalil
Abd Khalil

Pada usia 19 tahun ketika itu, Abdul Khalil sanggup berjalan sejauh lapan kilometer dari Jalan Raja Uda ke Padang Kelab Selangor bersama abang dan sepupu demi menyaksikan detik bersejarah tersebut.

“Keletihan langsung tidak terasa kerana dikelilingi lautan manusia yang sama-sama berkobar dan bersemangat menyambut kemerdekaan.

“Saya bawa kamera dengan 12 gulung filem, niatnya mahu merakam detik-detik merdeka, tapi semuanya habis begitu sahaja sebab terlalu sesak dengan orang ramai,” katanya.

Detik bersejarah sempat dirakam Abd Khalil.
Detik bersejarah sempat dirakam Abd Khalil.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Abdul Khalil yang berasal dari Ipoh, Perak, datang ke Kuala Lumpur dua hari sebelum kemerdekaan bersama abang ketika itu berusia 21 tahun dan sepupu perempuannya,17, dari Kuala Terengganu.

Mereka menumpang di rumah kakaknya di Jalan Raja Uda semata-mata untuk menyertai sambutan kemerdekaan yang pertama itu.

“Saya bersiap dari jam 5 petang dan tiba di Padang Kelab Selangor sekitar 6.30 petang. Sepanjang perjalanan, suasana meriah dengan ribuan rakyat berjalan kaki bersama-sama tanpa rasa penat demi menyaksikan detik bersejarah negara merdeka.

“Berbekalkan RM30, saya gunakannya untuk perbelanjaan tambang bas, kereta api, makanan serta membeli surat khabar harian yang ketika itu berharga 15 sen bagi mengikuti perkembangan tentang kemerdekaan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perbezaan sebelum dan selepas merdeka, beliau berkata, banyak perubahan positif mula dirasai apabila rakyat sendiri diberi kuasa untuk memimpin negara.

Detik bersejarah sempat dirakam Abd Khalil.
Detik bersejarah sempat dirakam Abd Khalil.

“Waktu itu, peluang pekerjaan semakin baik. Orang Melayu diutamakan. Jika sebelum ini hanya memegang pangkat rendah, mereka mula diberi peluang kenaikan pangkat.

“Malah, pelajar yang memasuki sekolah diberikan elaun sebagai galakan untuk belajar,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemerdekaan yang dicapai pada waktu itu sebagai satu rahmat kerana jika Malayan Union diteruskan, Tanah Melayu mungkin tidak akan menikmati kemerdekaan sebagaimana hari ini.

“Kita patut bersyukur kerana pada waktu itu belum ada ilmu atau teknologi cari gali minyak. Kalau tidak, mungkin kita belum merdeka sampai sekarang,” katanya.

Sebagai pesara juruteknik Telekom Malaysia dan jurugambar sambilan, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap sikap generasi muda yang didakwanya semakin tidak ambil kisah terhadap sejarah dan erti sebenar kemerdekaan.

“Dulu, anak muda taat dan bekerjasama. Sekarang, dengan limpahan kemewahan, ramai yang tak berminat nak dengar cerita merdeka. Mereka tidak tahu bagaimana orang terdahulu bersusah payah memperjuangkannya.

“Hubungan antara kaum juga dulu sangat mesra, tapi sekarang seolah-olah ada rintangan. Masing-masing ada ego tinggi dan merasa diri lebih besar,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!