Miliki lesen tiga jenis kren

SHAH ALAM – Di sebalik struktur besi yang menjulang tinggi dan jentera berat di udara, tersimpan kisah pengendali kren yang bukan sahaja mahir tetapi berani menghadapi risiko dalam melaksanakan tugas harian.
Anak kelahiran Kuala Lumpur, Mohamad Zikri Hissan, 34, berpengalaman selama lebih sedekad dalam bidang tersebut dan kini mempunyai tiga lesen pengendalian kren bagi jenis menara, beroda dan derik.
Menurutnya, kepelbagaian lesen bukan sekadar pencapaian tetapi strategi kelangsungan hidup dalam industri yang menuntut fleksibiliti dan ketahanan mental.

“Saya pernah kerja sebagai operator kren menara. Masa kerja secara terus dengan syarikat saya boleh dapat RM6,500 sebulan dan ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun menerusi subkontraktor, saya cuma diberi gaji RM3,500.
“Jadi saya kerja sekejap sahaja, bukan tidak bersyukur tapi memang tak berbaloi dengan risiko yang kita hadapi. Sekarang saya lebih utamakan kren bergerak dan kren berantai,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, kren bergerak adalah jentera paling mencabar kerana ia memerlukan kemahiran dan pengalaman.
“Sebelum kerja-kerja mengangkat, operator perlu buat ‘pelan angkat’ dengan mengambil kira faktor tanah, cuaca, jarak dan berat beban.
“Terutama jika bekerja di kawasan bahaya, contohnya berhampiran pencawang elektrik, di tepi tebing curam atau di tepi jalan raya yang boleh melibatkan kemalangan ke atas pengguna jalan raya,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman mencemaskan sebagai operater kren, Mohamad Zikri berkata, dia pernah berdepan insiden yang mendebarkan apabila boom kren yang dikendalikannya bertembung dengan kren lain pada ketinggian melebihi 100 meter.
Jelasnya, perlanggaran tersebut menyebabkan gegaran kuat dirasai di dalam kabin kren dan dipercayai berlaku berikutan sensor kren bersebelahan tidak berfungsi dengan baik sehingga boom kren berayun tanpa dapat dikawal.

“Gegaran menimbulkan suasana cemas. Namun begitu, alhamdulillah keadaan masih terkawal.
“Perkara lain yang mendebarkan ialah perlu berjalan di atas rasuk keluli (I-beam) untuk ke kabin kren. Contohnya, di bangunan tinggi 45 tingkat, kami perlu naik lif sehingga tingkat 43, kemudian melintas I-beam untuk ke kren menara.
“Ruang berjalan sebesar tapak kaki sahaja. Jadi peralatan keselamatan seperti harnes keselamatan adalah wajib,” katanya.
Menurut Mohamad Zikri, rutin hariannya sebagai pengendali kren yang banyak dihabiskan di dalam kabin dan bekerja bersendirian di puncak bangunan, kadangkala memberi tekanan emosi.
Menurutnya, saiz ruang kabin kecil dan terpaksa menahan panas kerana sesetengah kren tidak mempunyai pendingin hawa.
“Paling lama saya pernah duduk dari jam 8 pagi sampai 4 pagi keesokannya, langsung tak turun.
“Sebelum naik, saya memang akan kosongkan dulu perut, kalau tidak susah sebab atas tak ada tandas. Buang air kecil pula terpaksa guna botol.
“Adakalanya untuk solat saya terpaksa gunakan air lebihan pendingin hawa untuk mengambil wuduk dan itu semua biasa sahaja bagi kami,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
