Lapan kes kecederaan libat kren menara sejak 2024

Mohd Hatta (tengah) memeriksa peralatan kren yang digunakan bagi memastikannya mengikut prosedur yang ditetapkan. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Hatta (tengah) memeriksa peralatan kren yang digunakan bagi memastikannya mengikut prosedur yang ditetapkan. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak lapan kes kecederaan pekerjaan melibatkan kren bangunan tinggi atau kren menara direkodkan dalam tempoh dua tahun, iaitu empat kes pada 2024 dan empat kes lagi sehingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, walaupun jumlah itu kecil, namun ia menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pematuhan keselamatan di tapak pembinaan bertingkat tinggi, khususnya dalam projek mega yang menggunakan kren menara sebagai jentera utama.

Menurutnya, antara punca yang menyumbang kepada kecederaan pekerjaan ialah latihan, arahan dan komunikasi keselamatan yang tidak mencukupi, penyelenggaraan tidak mengikut spesifikasi, serta pentaksiran risiko yang tidak tepat.

Lebih membimbangkan, sepanjang tempoh 2021 hingga Jun 2025, jabatan itu turut mengesan beberapa kesalahan berulang dalam kalangan operator dan kontraktor kren menara yang melibatkan pelanggaran peraturan keselamatan asas.

Mohd Hatta (tengah) sewaktu melakukan lawatan mengejut di salah sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Hatta (tengah) sewaktu melakukan lawatan mengejut di salah sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Antara kesalahan paling kerap dikesan ialah kegagalan menyediakan Prosedur Kerja Selamat (PKS). Setiap majikan wajib memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja untuk semua pekerjanya mengikut Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kegagalan menyediakan PKS bukan sahaja melanggar undang-undang, malah turut menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan di tapak pembinaan,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengetuai satu lawatan mengejut ke sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!