RUU Pembaharuan Semula Bandar longgar, perlu ditangguhkan – Majlis Peguam

KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 tidak wajar diteruskan tanpa penambahbaikan kerana berisiko mengorbankan hak asasi, jaminan kediaman serta keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, meskipun pembaharuan bandar merupakan objektif nasional yang sah dan perlu bagi menangani isu bangunan usang, pembangunan terbengkalai serta struktur tidak selamat, ia tidak boleh dilaksanakan dengan mengabaikan perlindungan asas kepada rakyat.
Menurutnya, RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang menyeluruh dalam pembangunan semula, penjanaan semula dan penghidupan semula kawasan bandar.
Bagaimanapun, beliau berkata, Majlis Peguam bimbang kerana ambang persetujuan yang ditetapkan terlalu rendah, iaitu 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun atau kurang, 75 peratus bagi bangunan lebih 30 tahun, dan hanya 51 peratus bagi bangunan tidak selamat atau terbengkalai.
“Ambang sebegini berisiko menjejaskan hak pemilik minoriti dan mendedahkan komuniti kepada kemungkinan dipindahkan. Di beberapa negara lain yang mengutamakan pembaharuan bandar, tahap persetujuan lebih tinggi digunakan sebagai langkah perlindungan.
“Kami menggesa supaya ambang persetujuan bagi bangunan boleh diduduki dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 85 peratus untuk bangunan lama dan 90 peratus untuk bangunan baharu, dengan pengesahan persetujuan secara bebas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, Mohamad Ezri berkata, teks RUU berkenaan juga menimbulkan kebimbangan kerana meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pemaju berkelayakan yang dilantik untuk memperoleh persetujuan tanpa penglibatan langsung kerajaan negeri.
Katanya, walaupun PLANMalaysia pernah memaklumkan perkara itu akan ditangani menerusi Kaedah-kaedah Akta, namun tiada jaminan ia akan berlaku kerana kuasa menggubal peraturan terletak sepenuhnya pada Menteri di bawah Seksyen 29 RUU tersebut.
“Lebih membimbangkan, berkaitan pengambilan balik secara paksa di bawah Seksyen 21(4), sebaik sahaja ambang persetujuan dicapai, baki pemilik tanah yang tidak bersetuju akan tertakluk kepada pengambilan paksa.
“RUU ini tidak menyediakan sebarang perlindungan kepada pemilik tanah yang tidak turut serta. Perlindungan dan hak untuk menerima tawaran manfaat di bawah pembaharuan bandar seharusnya diperluaskan kepada semua pemilik tanah, sama ada yang turut serta atau tidak,” ujarnya.
Beliau menambah, RUU tersebut juga membenarkan pengisytiharan pembaharuan bandar dibuat tanpa sebarang libat urus awal dengan pemilik tanah, berbeza dengan draf terdahulu yang membayangkan peranan lebih aktif kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Majlis Peguam menekankan lima perkara utama, antaranya kerajaan negeri mesti terlibat dalam mengesahkan ambang persetujuan, manakala pemaju berkelayakan tidak boleh dibenarkan memperoleh ambang persetujuan secara bersendirian.
Selain itu, pengambilan balik secara paksa tidak wajar dilaksanakan hanya kerana pemaju memperoleh ambang persetujuan; hak menerima tawaran manfaat mesti diperluaskan kepada semua pemilik tanah, sama ada yang turut serta atau tidak; serta ambang persetujuan yang dicadangkan lebih rendah berbanding negara lain yang berfokus kepada pembaharuan bandar.
Majlis Peguam juga membangkitkan isu penggunaan mekanisme pengambilan balik paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Sebarang penggunaan pengambilan paksa dalam konteks pembaharuan bandar hendaklah dilaksanakan dengan berhati-hati, hanya bagi tujuan awam sebenar serta disertai formula pampasan yang dipertingkat termasuk kos pemindahan, elaun gangguan dan hak untuk kembali semula,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyewa dan penghuni walaupun bukan pemilik berdaftar tidak boleh diketepikan. Malah, perlindungan statutori perlu diperkenalkan bagi menjamin penempatan semula sementara, sokongan pemindahan dan hak pertama untuk kembali ke unit setara.
“Tanpa perlindungan ini, pembaharuan bandar berisiko meminggirkan komuniti rentan serta melebarkan jurang ketidaksamaan sosial.
“Sama penting ialah keperluan ketelusan dan penyertaan. Pendengaran awam, penilaian impak sosial dan trafik, serta pendedahan penuh mengenai syarat pembangunan mesti diwajibkan sebelum sebarang projek pembaharuan diluluskan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Majlis Peguam amat bimbang terhadap langkah kebelakangan ini untuk mengecilkan peluang pendengaran awam di Kuala Lumpur, yang disifatkan bercanggah dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Justeru, Majlis Peguam menggesa kerajaan menubuhkan sebuah badan mediasi bebas dengan kuasa jelas untuk menangani pertikaian dan kecacatan prosedur serta menyediakan bantuan guaman kepada pemilik dan penghuni yang terkesan.
“Pembaharuan tidak seharusnya menjadi alat keuntungan swasta atas kos awam. Dalam apa jua keadaan, ketiadaan tribunal adalah bermasalah kerana Bahagian IV RUU hanya memperuntukkan mediasi yang tidak mencukupi untuk menangani pertikaian secara berkesan.
“Kami menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kedua RUU ini dan menyerahkannya kepada rundingan lanjut dengan semua pihak berkepentingan termasuk kumpulan penduduk, persatuan pengguna dan badan masyarakat sivil.
“Hanya dengan memastikan perlindungan lebih tinggi serta jaminan lebih kukuh, barulah pembaharuan bandar dapat mencapai matlamatnya untuk menghidupkan semula bandar sambil menghormati hak dan maruah semua rakyat Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


