RUU PK: Pakar, NGO bimbang jadi undang-undang gagal

Kenyataan bersama 12 NGO dan pakar mengenai RUU PK
Kenyataan bersama 12 NGO dan pakar mengenai RUU PK
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan pakar anti rasuah menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan (PK) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

Menerusi kenyataan bersama, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa RUU tersebut berisiko menjadi 'undang-undang gagal’ sekiranya tidak dipinda selain membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan ketirisan perolehan seperti yang pernah berlaku dalam beberapa skandal terdahulu.

"RUU tersebut dilihat memberi kuasa budi bicara terlalu luas kepada menteri dalam menentukan kaedah perolehan, membuat pengecualian tanpa justifikasi telus, serta membolehkan campur tangan dalam keputusan Lembaga Perolehan.

"Undang-undang ini berpotensi mengabsahkan amalan perolehan tidak sihat yang pernah mengakibatkan skandal seperti LCS, Jabatan Air Sabah, Scorpene dan Port Klang Free Zone (PKFZ)," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Rasuah Busters; Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS); Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center); Transparency International Malaysia (TI-M);

Tan Sri Dr Syed Hamid Albar; Datuk Hussmuddin Yaacub; Professor Dr Edmund Terence Gomez; Shah Hakim Zain; Maha Balakrishnan; Anas Zubedy; Badlishah Sham Baharin dan Tharma Pillai.

Gabungan tersebut turut menyatakan kebimbangan terhadap peranan Kementerian Kewangan (MOF) yang bertindak sebagai entiti perolehan dan pada masa sama diberi kuasa siasatan tanpa mekanisme pemantauan luar dan perlindungan kehakiman yang memadai.

Justeru mereka menuntut agar RUU PK dirujuk segera kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Kewangan dan Ekonomi berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 80B, bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat serta input daripada pihak berkepentingan diperoleh.

"Kami menyeru semua Ahli Parlimen supaya tidak menyokong pembentangan rang undang-undang ini selagi ia tidak melalui semakan teliti PSSC.

Artikel Berkaitan:

"Parlimen kini mempunyai tanggungjawab di bawah peraturan baharu untuk menyemak semua RUU selepas bacaan pertama," menurutnya.

Dalam pada itu gabungan berkenaan turut mencadangkan beberapa pembaharuan antaranya mengehadkan kuasa menteri dengan proses telus dan berakauntabiliti, menjamin ketelusan melalui penerbitan data perolehan secara terbuka dan digital serta menubuhkan tribunal rayuan bebas yang tidak dikuasai entiti perolehan.

Di sampingh itu mereka turut memohon satu mesyuarat diadakan bersama Menteri Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) serta PSSC Kewangan dan Ekonomi bagi membentangkan cadangan pindaan secara fasal demi fasal.

"Malaysia memerlukan undang-undang perolehan yang benar-benar melindungi integriti, bukannya memberi ruang kepada pengaruh dan salah guna.

"Kami sedia bekerjasama secara konstruktif demi kepentingan negara," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!