Nama saintifik Rafflesia tiada kaitan kolonialisme - Pakar

SHAH ALAM - Penamaan spesies Rafflesia tiada kaitan dengan penjajahan atau kolonialisme, sebaliknya nama saintifik itu diambil daripada bahasa Latin.
Bagaimanapun, Dekan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr Zulhazman Hamzah tidak menafikan sejarah penamaan bunga terbesar di dunia itu sempena penemuannya oleh Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold di Bengkulu, Sumatera Barat pada 1818 sebelum ahli botani, Robert Brown mendaftarkannya secara rasmi pada 1821.
Menurut pakar bidang ekologi hutan itu, semua tumbuhan yang ada kaitan dengan manusia sama ada sebagai sumber makanan, perubatan dan lain-lain kegunaan mempunyai nama tempatan tersendiri, tetapi bukan gelaran saintifik yang lazimnya memerlukan pendaftaran di peringkat antarabangsa.
“Nama saintifik diberi supaya jika ia dijumpai di mana-mana sahaja di pelosok dunia, itulah standard nama panggilan contohnya Rafflesia. Tetapi nama tempatan mungkin berbeza.
“Kalau di Kelantan, masyarakatnya memanggil bunga pokma, Orang Asli suku kaum Temiar di Lojing menyebutnya bunga malang, Kadazan-Dusun (bunga patma), Melayu-Selatan Thai (bunga kekmo) manakala di Thailand dikenali sebagai bua put.
“Raffles yang jumpa ketika ekspedisinya di Bengkulu dan spesimennya dibawa ke Kew Garden di London. Tiada kaitan dengan penjajahan pun.
“Katakanlah kalau saya atau sesiapa sahaja terjumpa spesies baharu yang belum didaftar secara saintifik, mungkin ia dinamakan sempena nama orang tertentu, tempat dijumpai atau keunikan ciri morfologi tumbuhan tersebut,“ katanya kepada Sinar Harian.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya nama Rafflesia ditukar sebagai simbol pembebasan daripada legasi penjajah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Wan Ahmad Fayhsal berpandangan, nama bunga tersebut yang diambil sempena tokoh kolonial British, Stamford Raffles tidak lagi sesuai digunakan selepas lebih enam dekad Malaysia mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan oleh Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

