Kematian Cikgu Kwan Fong dipercayai tiada kaitan dengan along - Polis

Kumarasan
Kumarasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kematian seorang guru wanita yang ditemukan dalam keadaan jasad mereput di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, di sini, pada 13 Jun lalu dipercayai tidak mempunyai sebarang unsur jenayah atau kaitan dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mendiang Lo Kwan Fong, 39, pernah meminjam along dengan jumlah RM20,000 namun melunaskan hutang tersebut.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati tiada kejadian simbah cat dan ugutan diterima mangsa.

"Mendiang pernah buat laporan polis dan disiasat dibawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Namun setelah mendiang lunaskan kesemua hutangnya, tiada laporan polis diterima.

"Malah jiran mendiang juga menyatakan tiada along datang simbah cat di rumahnya. Mendiang juga tidak pernah buat laporan polis selepas hutang dilunaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini pada Rabu.

Menurut Kumarasan, sehingga kini jenazah Cikgu Kwan Fong masih belum dituntut oleh keluarga.

Katanya, polis telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengesahkan mendiang adalah anak tunggal, manakala ibu dan bapanya telah meninggal dunia.

"Polis akan berbincang semula dengan pihak hospital. Selepas dua minggu jenazah akan diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melantik syarikat pengebumian swasta.

Artikel Berkaitan:

"Kita difahamkan mendiang mempunyai seorang ibu saudara dari Singapura tetapi hingga kini, kita tidak dapat maklumat berhubung perkara itu," ujarnya.

"Mengikut jiran-jiran mendiang seorang guru yang baik tetapi memang tidak bercampur masyarakat. Ketika ditemui pihak polis, keadaan jasad mangsa duduk di dalam tandas dan dalam rumah yang berkunci dari dalam,"katanya.

Jelas beliau, ada ibu bapa pelajar guru berkenaan yang mahu membantu proses pengebumian.

Pada 16 Jun lalu, media melaporkan seorang guru wanita ditemui mati di dalam rumahnya selepas jiran terhidu bau busuk yang berpunca daripada rumah mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada jam 8 malam.

Siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dipercayai meninggal dunia dalam anggaran tempoh sebulan.

Wanita itu adalah anak tunggal dan ibu bapanya meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu.

Hasil bedah siasat dijalankan oleh doktor pakar forensik HSA mendapati punca kematian punca kematian tidak dapat dipastikan (penguraian lanjutan)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!