Gunung bertambah tinggi kerana gempa bumi

BANDUNG BARAT - Sebuah gunung didakwa bertambah ketinggian secara ketara kerana pergerakan tektonik disebabkan gempa bumi.
Peneliti dari Badan Riset Inovasi Nasional (BRIN), Mudrik Rahmawan Daryono berkata, Gunung Batu di Desa Desa Pagerwangi, Kecamatan Lembang, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat (Jabar) di Indonesia itu meningkat kepada 120-450 meter secara berperingkat.
"Pemerhatian terakhir menunjukkan ketinggiannya meningkat hingga 40 sentimeter kerana aktiviti Sesar Lembang yang berupaya menghasilkan gegaran berkekuatan 6.5-7.0 skala Richter," ujarnya.
Difahamkan, Gunung Batu berada di zon aktif Sesar Lembang sepanjang 29 kilometer dari Cilengkrang, Kabupaten Bandung hingga Padalarang, Kabupaten Bandung Barat (KBB).
Banyak pihak mula resah susulan peningkatan aktiviti Sesar Lembang direkodkan sejak tiga bulan lalu, namun gegaran yang dicatatkan tidak melebihi 3.0 skala Richter.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pemerintah kota (Pemkot) Bandung di Jabar telah menyediakan enam lokasi pemindahan jika berlaku gempa akibat aktiviti Sesar Lembang.
Pakar memberi amaran gempa bumi dahsyat berpotensi berlaki di Sesar Lembang dan mengancam jutaan penduduk sekitarnya.
Gempa kuat berulang diramalkan berlaku setiap tempoh 170-670 tahun.
"Gegaran terakhir berlaku kira-kira 560 tahun lalu. Ia mungkin terjadi sekarang atau 100 tahun lagi. Kita perlu sentiasa berwaspada," jelas Mudrik lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

