Gegaran gempa bumi lemah kembali landa Segamat

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Gegaran gempa bumi lemah sekali lagi direkodkan di Segamat pada malam ini, susulan kejadian gegaran yang berlaku pada Rabu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, gempa bermagnitud 2.5 itu berlaku pada jam 7.56 malam.
"Pusat gegaran berada pada koordinat 2.6 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
“Kejadian itu berpusat kira-kira 13 kilometer utara Segamat dan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor,” menurut kenyataan berkenaan.
MetMalaysia menegaskan pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan dari semasa ke semasa.
Pada Rabu, gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 berlaku pada jam 8.59 pagi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Terdahulu, pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ia kemudian disusuli gegaran kedua pada jam 9 pagi di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang, dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.
Sementara itu, beberapa penduduk turut berkongsi pengalaman masing-masing merasai gegaran tersebut di media sosial.
"Saya di Kampung Bukit Lintang pun terasa juga, tengah duduk atas kerusi dekat meja makan. Rasanya gegaran tu dalam jam 7.57 malam," tulis pengguna media sosial.
Seorang lagi penduduk di Kampung Tengah turut mengakui terasa gegaran perlahan ketika sedang berbaring.
“Ingatan pertama memang sangka kenderaan berat lalu, rupanya gempa,” tulisnya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat memaklumkan gegaran berkenaan turut dirasai oleh penduduk di sekitar Segamat dan kawasan berdekatan.
"Setakat ini, tiada sebarang laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini, manakala agensi berkaitan juga sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

