Datuk rogol cucu hingga lahirkan anak dijel 18 tahun, 24 sebatan

SANDAKAN - Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, selepas mengaku bersalah merogol cucunya yang berusia 14 tahun hingga melahirkan anak.
Tertuduh berusia 52 tahun membuat pengakuan bersalah itu terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 9 pagi pada 13 Oktober tahun lalu di sebuah rumah, sebelum mengulanginya dua hari kemudian di kawasan kebun sebuah kampung di daerah ini.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh turut dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Zaini memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak selama 18 tahun dari tarikh dia ditangkap, manakala jumlah sebatan kekal sebanyak 24 sebatan.
Tertuduh juga diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azizi Hamil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anaknya melahirkan bayi lelaki akibat dirogol tertuduh.
Mangsa bersama dua adiknya tinggal bersama tertuduh dan nenek mereka selepas ibu bapa bercerai.
Dia dirogol sebanyak dua kali pada tahun lalu sebelum melahirkan bayi lelaki pada Julai lalu dan perkara itu akhirnya terbongkar selepas diketahui ahli keluarga, sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh pada 23 Julai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
