Pukat haram disyaki punca populasi kelah Tasik Kenyir merosot

HULU TERENGGANU – Kemerosotan hingga 60 peratus populasi ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir di sini dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pukat haram.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemerhatian mendapati jumlah ikan di kawasan lubuk utama tidak lagi seperti dahulu, malah spesies induk juga semakin berkurangan.

"Kita boleh lihat perubahan jelas. Kalau sebelum ini pelawat turun sahaja ke jeti, bunyi tapak kaki sudah cukup untuk menarik kawanan kelah menghampiri kawasan gigi air.
"Hari ini, yang tinggal hanyalah ikan-ikan kecil manakala induk besar cuma beberapa ekor sahaja. Berdasarkan anggaran saya, hampir 50 hingga 60 peratus telah hilang," katanya ketika ditemui dalam lawatan kerja di kawasan tarikan pelancongan itu di sini, pada Isnin.
Menurut Razali, kekurangan itu dipercayai ada kaitan dengan aktiviti menangkap ikan secara haram di kawasan berkenaan.
"Dalam perjalanan masuk ke kawasan santuari ini tadi, saya sendiri ternampak ada pukat berukuran kira-kira empat inci yang tersangkut pada laluan masuk lubuk ini.
"Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tapi ia menunjukkan seperti ada pihak yang cuba menangkap dan membawa keluar ikan kelah secara tidak sah," katanya.
Beliau berkata, beberapa ekor ikan turut ditemui dalam keadaan cedera dipercayai kesan terkena pukat berkenaan.
Jelas Razali, pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi mengetatkan kawalan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan tenaga solar di tiga lokasi lubuk utama.

"Kita juga mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu untuk memastikan kelestarian habitat ikan kelah dapat dipulihkan," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melaporkan perkara itu kepada polis sekiranya terdapat bukti kukuh terhadap kegiatan itu.
"Kita akan buat laporan polis untuk mereka siasat sebab apa santuari kelah ini yang merupakan jenama negeri Tengganu boleh terjejas.
"Santuari kelah yang ada di Tasik Kenyir ini tak sama dengan tempat lain, sebab itu semua rakyat negeri Tengganu kena jaga kawasan ini.
"Ia adalah produk pelancongan ikonik negeri dan menjadi jenama negara. Kita kena jaga," katanya.
Terdahulu, operasi produk pelancongan Santuari Kelah dilaporkan terjejas sejak Selasa minggu lalu susulan kemunculan haiwan pemangsa iaitu memerang.
Bagaimanapun, Razali menyifatkan ancaman itu hanya bersifat sementara berbanding aktiviti manusia.
“Memerang itu baru-baru ini sahaja muncul. Memerang ini haiwan, dan ia tidak akan terus bergaduh sesama habitat untuk tempoh lama. Pada saya, memerang hanyalah faktor sampingan.
"Saya mengesyaki ia berpunca daripada manusia kerana kita telah menemui pukat tadi. Malah, kita dapat lihat beberapa ekor ikan induk yang besar mengalami luka di kepala, dipercayai akibat terkena pukat. Kesannya jelas menunjukkan ia ditangkap secara kasar, bukan faktor semula jadi, "ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
