Tuntung sungai mati tersangkut rawai di Sungai Kemaman

KEMAMAN - Seekor tuntung sungai betina ditemui mati selepas tersangkut pada rawai yang digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah, di sini pada pagi Ahad.
Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, bangkai tuntung berusia lima hingga enam tahun itu ditemui terapung oleh penduduk kampung.
Menurutnya, reptilia berukuran 37 sentimeter (cm) panjang dan 29cm lebar itu dipercayai sudah mati sejak dua hingga tiga hari lalu.
“Kami dapati mata kail daripada rawai tersangkut di bahagian mulut tuntung berkenaan. Bangkainya berbau busuk dan terdapat kesan darah pada beberapa anggota badan,” katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku dan hampir setiap tahun ada tuntung yang mati akibat terkena rawai atau peralatan menangkap ikan lain.
“Apabila tuntung atau hidupan air lain terperangkap pada rawai, haiwan ini tidak dapat timbul ke permukaan untuk bernafas dan akhirnya mati,” jelasnya.
Pelf Nyok berkata, tinjauan pihaknya di lokasi kejadian turut menemui tiga set peralatan menangkap ikan yang dilengkapi mata kail serta pemberat daripada batu-bata.
“Tiga minggu lalu, seekor tuntung dewasa turut ditemui dengan mata kail tersangkut di mulutnya di kawasan Kampung Seberang Tayor.
“Mujur kami berjaya mengeluarkan mata kail itu dan menghantar reptilia tersebut ke pusat veterinar untuk rawatan,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas bagi mengawal penggunaan peralatan menangkap ikan terlarang yang mengancam habitat tuntung sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
