‘Saya terkilan tak sempat peluk dia’ – Bapa Chempaka Alara

KUANTAN – Seorang bapa rebah dan tidak dapat menahan sebak setelah memeluk serta mencium jenazah anak tunggalnya, Chempaka Alara Azizi, sebaik sahaja keluar dari Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Isnin.
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu maut dalam kemalangan di Kilometer 142 Jalan Keratong–Bahau, Muadzam Shah pada Ahad.
Ibu mangsa, Amelia Kartika Mappatata, 32, pula cedera dan kini dirawat di HTAA.

Menurut bapa mangsa, Azizi Abd Karim, 32, lima minit sebelum tragedi dia sempat membuat panggilan video bersama isteri dan puteri tunggalnya yang mesra dipanggil Bunga.
"Saya tak sangka itulah perbualan terakhir dengan Bunga dan dia kelihatan ceria pada ketika itu.
“Tidak lama selepas itu, saya terima panggilan daripada nombor tidak dikenali memaklumkan isteri saya kemalangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HTAA di sini pada Isnin.
Azizi yang bekerja sebagai jurulatih renang berkata, kali terakhir bertemu arwah ialah pada pagi Khamis sebelum isteri dan anaknya berangkat ke Melaka menghadiri kenduri rakan.

Bagaimanapun, dia mengakui terkilan kerana tidak sempat memeluk anak kesayangannya itu sebelum mereka bertolak.
Katanya lagi, Bunga sempat meluahkan rasa rindu kepadanya dalam panggilan video tersebut.
“Kali terakhir saya jumpa dia pagi Khamis. Sepatutnya mereka balik ke Kuantan semalam (Ahad) tetapi berlaku sebaliknya.
"Saya cakap kepada anak sabar, sekejap lagi ayah datang ambil Bunga kita jumpa," katanya.
Sementara itu, anak sulung kepada seorang lagi mangsa maut, Adam Safi Mukris Jasli Hadi, 23, meluahkan rasa terkilan kerana sudah lama tidak berjumpa ibunya, Aida Asmalia Abu Samah, 46, sebelum tragedi menimpa keluarga mereka.
Katanya, dia hanya mengetahui berita kemalangan itu selepas dimaklumkan bapanya, walaupun kejadian berlaku pada jam 5.30 petang Ahad.

Menurut Adam, kali terakhir bertemu arwah ibunya adalah pada Mac lalu dan sejak itu dia hanya berhubung melalui WhatsApp.
“Saya duduk asing, jadi boleh kata bulan tiga itu kali terakhir jumpa secara dekat. Tetapi hari-hari saya nampak kereta ibu, WhatsApp pun ada, cuma tidak berjumpa.
“Rasa paling terkilan mungkin sebab saya terlalu sibuk cari rezeki sebab fikir kena bantu adik yang masih belajar,” katanya.
Adam turut memaklumkan keadaan adik bongsunya kini stabil.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Ahad, pemandu kereta, Aida bersama dua lagi penumpang iaitu penuntut Kolej Matrikulasi Gambang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, dan Chempaka Alara, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka terbabas serta bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.
Tiga penumpang lain, termasuk ibu Chempaka Alara, Amelia Kartika; anak pemandu kereta, Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14 dan Siti Adawiya Syauqina, 13, adik kepada Siti Auni Syafiqa, cedera serta sedang dirawat di HTAA.
Nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Alor Gajah, Melaka selepas menghadiri majlis perkahwinan.
Jenazah Chempaka Alara dituntut waris selepas selesai proses bedah siasat kira-kira jam 1 petang, sebelum dibawa ke Masjid Taman Taman untuk dimandi dan dikafankan serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Lapan, Jalan Kuantan–Gambang.
Jenazah Aida Asmalia pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali manakala jenazah Siti Auni Syafiqa disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

