Tiga termasuk kanak-kanak maut, empat cedera dalam kemalangan di Rompin

Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut dalam nahas di Jalan Muadzam Shah - Bahau, dekat Bukit Serok, di Rompin petang tadi. Foto Ihsan JBPM
Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut dalam nahas di Jalan Muadzam Shah - Bahau, dekat Bukit Serok, di Rompin petang tadi. Foto Ihsan JBPM
A
A
A

ROMPIN –  [DIKEMAS KINI] Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut manakala empat lagi cedera parah dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 142 Jalan Keratong–Bahau berhampiran Bukit Serok, Muadzam Shah pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46, beralamat di Taman Cenderawasih, Kuantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dua penumpangnya iaitu Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, dan Chempaka Alara Azizi, 3, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Menurutnya, penumpang yang cedera parah dikenali sebagai Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14 (anak kepada Aida Asmalia), Adawiya Syauqina Sheikh Ali (adik kepada Siti Auni Syafiqa), Amelia Kartika Mappatata, 32 (ibu kepada Chempaka Alara), serta pemandu kenderaan pacuan empat roda, Mohd Faizal Sukardi, 32.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Myvi bersama anak dan rakan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Alor Gajah, Melaka, manakala pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dipandu seorang penyelia ladang dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Isuzu D-Max," katanya.

Sharif Shai berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

"Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat.

"Empat mangsa parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!