Menteri Hal Ehwal Agama gerak Misi #MusaadahCovid-19

1
1
A
A
A

SHAH ALAM - Misi #MusaadahCovid-19 diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri digerakkan bermula hari ini.

Zulkifli berkata, beliau menggerakkan misi tersebut sebagai usaha meringankan beban asnaf dan petugas hadapan atau frontliner bagi mengelakkan penularan koronavirus (Covid-19) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

"Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memulakan Misi #MusaadahCovid19 di Wilayah Persekutuan dan negeri lain yang telah dikenal pasti.

"Bantuan kewangan bulanan baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang biasanya disalurkan setiap 25 hari bulan telah mula dimasukkan ke akaun bank penerima secara berperingkat bermula hari ini.

"Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM8.94 juta kepada 22,000 asnaf. Ini bertujuan meringankan beban asnaf untuk mendapatkan barangan keperluan dalam situasi semasa," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dr Zulkifli berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Jawi Food Bank dengan kerjasama pemilik Restoran Ali Maju, Datuk Ali Jawahar turut menyumbangkan makanan kepada petugas hadapan Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Menurutnya, misi #MusaadahCovid19 itu akan diteruskan sehingga minggu hadapan dan beliau sendiri akan memastikan semua sumbangan diterima sampai kepada sasaran yang dikehendaki.

Artikel Berkaitan: