Johor tunggu laporan penuh gempa bumi Segamat, pertimbang guna sistem amaran awal bencana

Mohd Jafni (tengah) pada Majlis Pra-pelancaran Johor Smart City Forum di Kulai pada Isnin.
Mohd Jafni (tengah) pada Majlis Pra-pelancaran Johor Smart City Forum di Kulai pada Isnin.
A
A
A

KULAI – Kerajaan Johor masih mengumpul maklumat berhubung jumlah kerosakan serta nilai kerugian akibat gegaran gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat dan Yong Peng pada Ahad.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan bencana berkenaan.

“Ini adalah pertama kali Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesan berlaku gegaran gempa bumi lemah di dua daerah ini.

“Kita akan lakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra-pelancaran Johor Smart City Forum di sebuah hotel pada Isnin.

Hadir sama, Pemangku Pengarah PlanMalaysia Johor, Mohd Faizalnizam Md. Zin.

Pada Ahad, penduduk dikejutkan dengan gegaran gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat pada jam 6.13 pagi.

Ia diikuti gegaran susulan bermagnitud 2.8 yang berlaku di Yong Peng pada 9 pagi, berlaku kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang, Johor.

Susulan itu, Mohd Jafni berkata, elemen pengesanan bencana termasuk gempa bumi akan dijadikan sebahagian daripada indikator pembangunan Smart City (Bandar Pintar) Johor pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan penggunaan sistem amaran awal bencana melalui telefon pintar yang telah diguna pakai di Jepun dan Korea Selatan.

“Sistem ini membolehkan penduduk dalam radius tertentu menerima mesej kecemasan sekiranya berlaku bencana seperti gempa bumi, kebakaran atau kemalangan di kawasan berhampiran.

“Indikator keselamatan ini akan dimasukkan dalam pelan Smart City Johor pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!