Gegaran gempa bumi pada magnitud lemah - MetMalaysia

JOHOR BAHRU – Rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang dengan dua kejadian gempa bumi di Segamat dan Kluang pada pagi Ahad kerana gegarannya berlaku pada magnitud lemah.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer (km) berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi.
“Lokasi kejadian adalah pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira 5 km barat Segamat, dan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta selatan Pahang. Kejadian ini turut dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 pula direkodkan pada jam 9 pagi di kawasan Yong Peng, Johor, iaitu kira-kira 28 km barat laut Kluang.
Menurut Mohd Hisham, berdasarkan analisis MetMalaysia, kedua-dua kejadian gempa bumi tersebut berlaku di Zon Sesar Mersing.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial rasmi jabatan ini.
“Mereka juga boleh menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
