Tanpa aliran tunai Petronas, ekonomi Bumiputera boleh ‘sesak nafas’

SHAH ALAM - Aliran tunai daripada keuntungan Petronas disifatkan sebagai urat nadi yang menghidupkan ekonomi Bumiputera dan tidak boleh dipandang ringan, tegas seorang pemimpin perniagaan Melayu.
Ahli Majlis Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Yazid Othman berkata, kebergantungan ekonomi Bumiputera terhadap hasil Petronas begitu mendalam sehingga sebarang gangguan terhadap pendapatan syarikat minyak negara itu mampu mencetuskan gegaran besar, bukan sahaja kepada dunia korporat, malah terus terasa ke dapur rumah rakyat.
Beliau menjelaskan, pendapatan Petronas bukan sahaja mengalir terus kepada vendor Bumiputera melalui kontrak minyak dan gas, malah turut masuk ke kantung kerajaan dalam bentuk dividen tahunan.
Dana ini jelasnya, kemudian akan digunakan untuk membayar gaji penjawat awam, menyediakan subsidi serta membiayai pelbagai program tindakan afirmatif.
“Angka KDNK atau data pasaran saham tidak mengenyangkan perut. Aliran tunai bermaksud wang benar-benar bergerak pantas. Petronas membayar vendornya, vendor membayar pekerja, pekerja berbelanja di kedai. Jika rantaian itu perlahan, seluruh ekosistem terjejas,” katanya.
Yazid menegaskan, peranan Petronas jauh melangkaui sekadar pembayar dividen kepada Putrajaya. Kontrak-kontraknya menjadi tonggak ribuan PKS Bumiputera dalam sektor minyak dan gas, selain menyokong perusahaan di sektor lain yang berkait rapat.
Beliau memberi amaran bahawa kejatuhan pendapatan atau bayaran Petronas akan memberi kesan segera kepada perniagaan Bumiputera.

“Apabila Petronas tertekan, vendor diarahkan mengurangkan margin atau menerima kontrak lebih kecil. Pembayaran pula ditangguh. Ini menyebabkan mereka tidak mampu membayar gaji pekerja atau pembekal tepat pada masanya dan kesannya dirasai terus oleh keluarga biasa.
“Orang ramai tidak sedar betapa besar pengaruh Petronas terhadap kehidupan ribuan isi rumah. Kena lihat dalam konteks sebenar. Jika 5,000 orang diberhentikan, berapa banyak keluarga yang terkesan?”
“Berapa banyak pusat tuisyen hilang pelajar? Berapa banyak kedai makan tiba-tiba lengang? Semua ini kesan limpahan ekonomi yang jarang disedari,” tambahnya.
Ujar Yazid lagi, Petronas menyalurkan puluhan bilion ringgit setiap tahun ke dalam perbendaharaan negara melalui pembayaran dividen dan digunakan kerajaan untuk membayar gaji penjawat awam, membiayai subsidi serta melaksanakan projek pembangunan.
Tahun lalu sahaja, Petronas membayar RM32 bilion kepada kerajaan, ia bukti jelas betapa pentingnya syarikat itu sebagai sumber perbelanjaan awam.
“Jika dividen Petronas turun ke RM25 bilion, dari mana kerajaan hendak cari kekurangan RM10 bilion itu?
“Tanpa wang ini, bayaran gaji penjawat awam akan terganggu, projek kerajaan tidak dapat dilaksanakan, dan keyakinan Bumiputera terhadap ekonomi boleh merudum,” kata Yazid.
Beliau memberi amaran bahawa kekurangan pendapatan sebegini boleh memaksa kerajaan mengambil langkah berjimat cermat, sebagaimana yang berlaku ketika pandemik Covid-19 apabila vendor diminta menyerap potongan harga semata-mata untuk memastikan projek terus berjalan.
Yazid turut menegaskan bahawa Putrajaya perlu membuktikan keupayaannya menyokong perniagaan Bumiputera dengan berkesan jika mahu mengekalkan sokongan politik mereka sambil mengurangkan pergantungan pada dasar berasaskan kaum.
“Tunjukkan lebih banyak PKS yang berkembang di bawah pentadbiran anda, pastikan pembayaran dibuat tepat pada masanya, dan buktikan bahawa keseluruhan ekosistem perniagaan Bumiputera semakin kukuh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
