[VIDEO] Pesara tentera bina replika KLCC, patung tentera semarak bulan kemerdekaan

A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pesara tentera menzahirkan semangat cintakan negara dengan membina replika Menara Berkembar KLCC setinggi hampir lima meter menggunakan botol plastik sempena sambutan bulan kemerdekaan di Kampung Simpang Air Mawar, Johol di sini.

Menariknya, seragam tentera yang pernah dipakainya semasa dalam perkhidmatan turut dipamerkan bersebelahan replika bangunan ikonik tersebut.

Replika yang dibina di tepi Jalan Tampin–Kuala Pilah itu bukan sahaja mencuri perhatian pengguna jalan raya, malah menjadi lokasi bergambar bagi penduduk dan orang kuar yang melalui kawasan tersebut.

Nasaruddin Zakaria, 59, berkata, walaupun sudah 13 tahun meninggalkan kerjaya tenteranya, semangat patriotik dalam dirinya tidak pernah pudar.

Nasaruddin
Nasaruddin

“Sebagai bekas tentera, semangat patriotik ini sudah sebati dalam diri. Kita perlu tonjolkan semangat ini supaya masyarakat, terutama golongan muda agar mereka faham apa itu erti kemerdekaan dan perjuangan.

“Kalau kita tak tunjuk contoh, lama-lama orang akan lupa. Sekarang pun kecoh isu bendera terbalik. Jadi, saya harap sekurang-kurangnya orang muda tahu hormat Jalur Gemilang dan cintakan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nasaruddin berkata, projek hiasan sempena bulan kemerdekaan itu telah menjadi rutinnya setiap tahun sejak 2012.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi edisi tahun ini, replika KLCC dipilih kerana menara ikonik itu sinonim dengan Malaysia bukan sahaja dalam negara malah dikenali di seluruh dunia.

“KLCC ini simbol yang orang kenal. Kalau kita buat, orang cepat faham itu lambang Malaysia.

“Saya guna 200 hingga 300 botol plastik dikumpulkan sejak Jun lalu untuk menyiapkan replika itu dibantu anak-anak dan orang kampung.

Saya ambil masa dua hingga tiga minggu siapkan replika ini. Kami buat pada waktu petang antara jam 3 hingga 6 kerana waktu lain saya berniaga,” katanya.

Ujarnya, pada tahun sebelum-sebelum ini sekitar rumah dan gerainya turut dihiasi pelbagai hiasan bertemakan budaya Melayu dan bendera Malaysia seperti replika keris dan tengkolok.

“Selain mencantikkan suasana, ia tarik perhatian orang luar. Ramai yang berhenti ambil gambar, kadang-kadang singgah makan di kedai saya juga. Secara tidak langsung, ini beri manfaat kepada perniagaan kecil saya,” ujarnya.

Mengulas mengenai penggunaan seragam tentera dalam hiasannya itu, Nasaruddin berkata, ia turut menggambarkan pengorbanan yang perlu dilakukan demi negara.

“Kita nak hasilkan sesuatu kena ada pengorbanan juga. Baju tu saya letak tak lama, sebulan lebih sahaja. Lepas itu, boleh simpan balik"

"Saya harap seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik sempena ulang tahun kemerdekaan negara ini dengan memasang bendera sekurang-kurangnya satu bendera setiap rumah sebagai menghargai jasa orang dulu memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!