Covid-19: MBJB laksana dekontaminasi 46 surau, masjid

Pihak MBJB melakukan kerja-kerja dekontaminasi di Masjid Jamek Tun Hussein Onn, Jalan Langkasuka, Larkin, Johor Bahru Johor hari ini bagi melaksanakan langkah nyah kuman Covid-19.
Pihak MBJB melakukan kerja-kerja dekontaminasi di Masjid Jamek Tun Hussein Onn, Jalan Langkasuka, Larkin, Johor Bahru Johor hari ini bagi melaksanakan langkah nyah kuman Covid-19.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan proses dekontaminasi di 46 surau dan masjid di bawah kawasan pentadbirannya sebagai langkah nyah kuman penularan koronavirus (Covid-19).

Menurut Pengarah Kesihatan MBJB, Dr Aslinda Salikin, proses berkenaan dilakukan di pekarangan 23 surau dan 23 masjid sekitar daerah ini bermula semalam hingga 31 Mac ini.

Beliau memberitahu, kerja-kerja disinfeksi itu melibatkan anggota Jabatan Kesihatan dan Unit Tindakan Cepat (JKUTC) MBJB di masjid terpilih serta menjadi tumpuan awam dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan dan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru.

"Proses berkenaan bermula pagi semalam melibatkan Masjid Sultan Abu Bakar, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kolam Ayer, Masjid Ungku Mohamad Skudai Kiri dan Masjid Jamek Taman Pelangi.

"Pada hari ini pula MBJB membahagikan lima pasukan menjalankan aktiviti dekontaminasi di Masjid Tun Hussein Onn Larkin, Masjid India Dato’ Ahmad Awang Jalan Duke, Masjid Al-Makmur Taman Kobena, Masjid Jamek Taman Perling dan Masjid Bukit Cagar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau pihak MBJB melakukan aktiviti dekontaminasi di Masjid Jamek Tun Hussein Onn, Larkin di sini hari ini.

Jelas Aslinda, peralatan MBJB dalam melakukan aktiviti dekontaminasi adalah terhad dan kekurangan itu membataskan mereka untuk memberi perkhidmatan lebih meluas di surau dan masjid lain.

Katanya, pihak masjid yang ingin melaksanakan langkah disinfeksi boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Adalah diingatkan bahawa langkah ini hendaklah dilaksanakan dengan jumlah Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang lengkap dan teknik yang betul dalam memastikan bahawa semua langkah keselamatan diri telah diambil," ujarnya.

MBJB juga katanya, mengingatkan warga bandar raya untuk mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

"Bersama-samalah kita berusaha mengekang penyebaran wabak Covid-19 ini dengan kekal berada di rumah masing-masing dan tidak mengadakan sebarang aktiviti di luar rumah kecuali bagi urusan seperti yang diwartakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Pihak MBJB melakukan kerja-kerja dekontaminasi di Masjid Jamek Tun Hussein Onn, Jalan Langkasuka, Larkin, Johor Bahru, Johor, hari ini bagi melaksanakan langkah nyah kuman Covid-19.