PM seru rakyat terus tabah berjuang bela Gaza

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar tidak berputus asa dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan untuk rakyat Palestin walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau menegaskan bahawa dalam isu kemanusiaan, umat Islam dan rakyat Malaysia perlu yakin dengan pertolongan ALLAH SWT serta terus melangkah ke hadapan tanpa merasa lelah atau kecewa.
“Ya, kadang-kadang kita letih, kecewa, rasa tiada harapan. Tetapi jangan berhenti melangkah. ALLAH janji pertolongan-Nya kepada mereka yang istiqamah dalam perjuangan,” katanya ketika berucap pada Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam Ahad.
Menurut Anwar, inisiatif yang digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan kemasyarakatan dan tokoh masyarakat harus diperkukuh kerana ia melambangkan suara rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
Beliau menekankan bahawa meskipun usaha yang ada belum mencukupi, rakyat perlu menambah lagi ikhtiar bagi memastikan penderitaan rakyat Gaza mendapat perhatian dunia.
“Usaha yang ada belum cukup, kita tambah lagi. Jangan mengalah. Lawan tetap lawan, semangat ini harus kekal dalam jiwa kita semua,” katanya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan hasil perbincangan dengan pemimpin dunia yang menunjukkan semakin banyak negara mula menolak kezaliman rejim Zionis.
Katanya, Jepun antara negara yang pernah bersetuju bersama Malaysia untuk mengetuai usaha pembangunan semula Gaza, selain beberapa inisiatif tambahan turut dibincangkan bersama negara sahabat.
“Bukan hanya negara Islam, malah Sepanyol, Brazil dan Afrika Selatan juga berani menyatakan pendirian tegas menolak penjajahan Zionis Israel. Ini tanda perubahan suara dunia,” katanya.
Anwar optimis bahawa walaupun kemenangan belum tercapai, kebenaran dan keadilan pasti akan mengatasi kezaliman.
Beliau mengaitkan semangat itu dengan sejarah perjuangan kemerdekaan rantau Asia yang berjaya menolak penjajahan kuasa besar pada abad lalu.
“Siapa sangka Indonesia di zaman Bung Karno mampu membebaskan diri daripada Belanda? Siapa percaya Gandhi dan Ali Jinnah boleh lawan kuasa Inggeris? Siapa percaya Vietnam boleh mengalahkan Perancis dan Amerika? Tetapi mereka berjaya kerana keyakinan,” katanya.
Menurutnya, pengajaran itu relevan pada bulan kemerdekaan Malaysia kerana rakyat perlu menghayati makna merdeka sebagai perjuangan berterusan melawan penindasan.
Beliau menegaskan, suara yang dibawa malam itu bukan suara parti, kaum atau wilayah tertentu tetapi suara rakyat Malaysia yang bersatu menolak kezaliman.
“Ulama, anak muda, wanita, semua berkumpul dengan satu semangat. Inilah suara bersama rakyat Malaysia,” katanya disambut sorakan dan laungan takbir hadirin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

