JPJ kutip lebih RM100 juta saman tertunggak

MACHANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip lebih RM100 juta hasil bayaran saman tertunggak melalui tawaran kompaun khas kadar rata RM150 yang dilaksanakan sejak Januari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kutipan itu melibatkan tiga kategori saman iaitu melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat 114 dan Notis Saman Tampal JPJ(P)23 115.
“Bagi saman AwAS, sebanyak 635,294 notis dikeluarkan dengan kutipan melebihi RM95.3 juta, manakala Notis 114 atau surat panggilan ke JPJ berjumlah 35,183 notis dengan nilai RM5.29 juta.
“Bagi Notis 115 atau saman pada kenderaan pula sebanyak 8,266 notis membabitkan nilai lebih RM1.23 juta,” katanya ketika ditemui selepas Program Semarak Merdeka 2025 di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah JPJ negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz.
Pada program itu JPJ bersama MKN Negeri Kelantan mengagihkan 200 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos ini.
Dalam pada itu, Jazmanie menegaskan JPJ bukan sahaja berperanan menguatkuasakan undang-undang jalan raya, malah turut bertanggungjawab menyampaikan mesej kepentingan disiplin, keselamatan dan patriotisme kepada masyarakat.
“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat Kemerdekaan dan cintakan negara di samping mengukuhkan kerjasama dengan MKN melalui pendekatan bersepadu sama ada dari aspek keselamatan mahupun kenegaraan.
“Kami mengajak semua pengguna jalan raya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan cinta kepada tanah air,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

