Kerajaan umum dana tambahan RM100 juta bantu Gaza

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi membantu rakyat Gaza yang terus menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Beliau berkata, dana berkenaan adalah tambahan kepada peruntukan sama yang diumumkan sebelum ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200 juta untuk tujuan kemanusiaan di Gaza.
“Dua tahun lalu kita meluluskan dana RM100 juta. Malam ini saya umumkan kerajaan menyalurkan lagi RM100 juta sebagai permulaan. Bantuan ini adalah komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk rakyat Palestin,” katanya.
Anwar membuat pengumuman itu ketika berucap pada Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung penuh semangat di Dataran Merdeka pada Ahad, dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, Malaysia konsisten menyuarakan solidariti bersama Palestin dan akan terus mendesak komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
“Ini suara rakyat Malaysia, bukan suara parti, kaum atau wilayah tertentu. Kita bersatu menolak kezalimanan dan kemungkaran,” katanya.
Perdana Menteri turut menggesa syarikat besar dan peniaga berkemampuan di negara ini tampil menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban rakyat Gaza.
“Negara kita bebas, aman sentosa. Belajarlah daripada pengalaman itu, hulurkan bantuan dan jaminlah kebebasan untuk rakan-rakan kita di Palestin. Saya minta syarikat negara kita prihatin kerana ada yang telah membantu sebelum ini,” katanya.
Anwar menegaskan, penderitaan rakyat Gaza akibat sekatan Israel tidak boleh diterima kerana bantuan makanan dan ubat-ubatan sering dihalang di sempadan.
“Orang lapar mati kebuluran, pesakit perlukan ubat tetapi tidak dapat masuk kerana disekat. Ini bukan manusia, ini haiwan. Sepanjang hidup 78 tahun, saya tidak pernah melihat kekejaman seburuk ini,” ujarnya.
Beliau turut mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang disifatkan tidak waras kerana sanggup mempertahankan pembunuhan kanak-kanak Palestin.
“Anak kecil pun dianggap Hamas. Ini penyakit dan kezaliman yang tidak boleh diterima akal,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan pentingnya kesatuan rakyat Malaysia untuk menolak perpecahan dan bersama membina negara yang makmur serta menjadi contoh kepada dunia.
“Dengan kesatuan, kita boleh bersuara dan melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh negara lain. Jangan biarkan bibit perpecahan merosakkan bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru anak muda bangkit mempertahankan negara agar terus merdeka, maju dan mampu membantu rakyat tertindas termasuk di Gaza.
“Semoga semangat perjuangan dan roh jihad terus subur dalam hati rakyat kita dan saudara kita di Gaza. Malaysia tidak akan meninggalkan anda sendirian,” katanya disambut laungan takbir hadirin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

