'Terlepas pandang' alasan popular pemilik kereta mewah tak perbaharui cukai jalan

MACHANG – Alasan paling popular diberikan pemilik kenderaan mewah apabila ditahan dalam Op Luxury 3.0 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ialah mereka ‘terlepas pandang’ untuk memperbaharui cukai jalan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, walaupun sistem Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan kini dilaksanakan secara digital, masih ramai pemilik kenderaan terutama kereta mewah mengambil mudah kewajipan tersebut.
“Banyak alasan yang kami terima, antaranya lupa, terlepas pandang atau sengaja mengabaikan.
“Sepatutnya dengan adanya sistem digital, kesedaran masyarakat lebih tinggi, namun masih ramai tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sehingga kenderaan mereka disita,” katanya ketika ditemui selepas Program Semarak Merdeka 2025 di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok di sini, Ahad.
Turut hadir, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz.

Jazmanie berkata, tindakan menyita kenderaan adalah selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemilik hanya dibenarkan menuntut semula kenderaan selepas menyelesaikan tunggakan cukai jalan serta memperbaharui perlindungan insurans.
Dalam laporan sebelum ini, JPJ memaklumkan sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama ditahan menerusi tiga siri Op Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Jun lalu.
Rekod terkini Op Luxury 3.0 bermula 7 hingga 9 Ogos lalu mencatatkan 104 kenderaan mewah termasuk Ferrari, Range Rover, Porsche dan Ford Mustang dipandu warga tempatan serta warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Dalam operasi itu juga, sebanyak 627 notis saman dikeluarkan, dengan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu 93 kenderaan diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16) dan Kelantan (15).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

