Isu keselamatan antara sebab tiada khidmat jaga bayi

KUANTAN – Kenaikan yuran dan faktor keselamatan menjadi penyebab kebanyakan taska di Pahang tidak menawarkan perkhidmatan menjaga bayi sejak awal tahun ini.
Pengusaha Taska Lestari Ilmu, Salawati Sulaiman, 51, berkata, kadar yuran terpaksa dinaikkan susulan pelaksanaan gaji minimum selain peraturan nisbah ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Untuk bayi bawah setahun, nisbahnya seorang pengasuh bagi tiga bayi... jika seorang bayi dikenakan caj RM600, jumlah kutipan hanya RM1,800.
Beliau berkata, walaupun terdapat subsidi yuran daripada kerajaan, namun ia hanya terhad kepada keluarga berpendapatan B40 dengan syarat tertentu.
“Subsidi memang ada, tetapi tidak semua layak... jadi ramai ibu bapa tidak dapat menikmatinya.
“Sebab itu ramai yang beralih kepada pengasuh tidak berdaftar dan pengasuh persendirian,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Taska Nur Zara Temerloh, Engku Fatimah Nor Che Ku Mohammad, 35, berkata, isu keselamatan turut mendorong pengusaha mengehadkan pengambilan bayi terutama selepas beberapa kes kematian dilaporkan.
Beliau berkata, pendidikan awal kanak-kanak di taska berdaftar amat penting kerana ia memberi kesan positif kepada perkembangan anak-anak apabila melangkah ke alam tadika.
“Kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal lebih berkeyakinan diri serta mudah dan cepat memahami apa jua pelajaran di tadika kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

