Nisbah pengasuh, risiko besar antara sebab taska tolak jaga bayi

Hajar Ahmad
Hajar Ahmad
A
A
A

GEORGE TOWN – Isu kecenderungan nisbah pengasuh dengan bayi yang ditetapkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) menjadi dilema besar kepada pengusaha taska sehingga ada yang terpaksa menolak kemasukan bayi.

Pengusaha taska, Hajar Ahmad berkata, walaupun mereka enggan menolak bayi kerana memahami keperluan ibu bapa bekerja, namun kekangan kewangan dan syarat ketat yang perlu dipatuhi membuatkan mereka serba salah.

Bagaimanapun, katanya, pusat taska yang diusahakannya masih menerima bayi dan kini mempunyai 15 bayi yang dijaga oleh lima orang pengasuh.

“Jika satu bayi dikenakan yuran RM600, nisbah tiga bayi hanya memberikan jumlah RM1,800. Daripada jumlah itu, hanya baki kira-kira RM100 yang tinggal selepas ditolak kos kebersihan dan cucian bangunan.

“Itu pun belum termasuk upah sanitasi yang boleh mencecah RM400 jika berlaku penyakit berjangkit,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambahnya, walaupun kadar yuran dinaikkan kepada RM800 sebulan, ia tetap tidak mencukupi untuk menampung kos operasi yang tinggi.

Menurut Hajar, selain isu nisbah, pengusaha turut berdepan cabaran besar lain seperti gaji minimum serta kenaikan sewa bangunan.

“Gaji RM1,700 untuk pengasuh tanpa pengalaman, manakala yang berkelayakan boleh mencecah RM2,000, tidak termasuk potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Semua kursus wajib seperti sijil asuhan, pengendalian makanan, suntikan kesihatan serta latihan lain perlu ditanggung oleh majikan. Kenaikan harga barangan dan sewa bangunan, walaupun masih boleh diatasi, namun kos sewaan yang tinggi serta keperluan menepati garis panduan pemakanan menambah beban pengusaha,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, cabaran lain termasuk tekanan emosi dan trauma dalam kalangan pengasuh serta tanggapan negatif masyarakat.

“Kes penderaan dan kematian bayi yang tular sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan ramai wanita takut untuk menjadi pengasuh. Situasi ini menyukarkan pengusaha mendapatkan tenaga kerja yang sanggup menjaga bayi.

“Selain itu, tanggapan masyarakat yang mana setiap kali berlaku insiden membabitkan taska, semua pengusaha dipandang serong, walaupun majoriti taska berdaftar berusaha menjaga keselamatan bayi mengikut piawaian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Orang ramai hanya nampak kegagalan segelintir taska, sedangkan ramai pengusaha berkorban masa dan wang untuk memastikan persekitaran asuhan bayi sentiasa selamat,” katanya.

Jelasnya, taska bukan sahaja membantu ibu bapa bekerja membangunkan ekonomi negara, malah membuka peluang pekerjaan kepada ibu tunggal serta wanita yang menganggur.

Sehubungan itu, Hajar merayu agar kerajaan tampil membantu bagi memastikan pusat asuhan dapat terus beroperasi dan bertahan.

“Kami amat perlukan bantuan kerajaan untuk menampung kos gaji minimum, pemberian elaun kepada pengasuh serta pengusaha taska berdaftar, selain subsidi bagi kursus asuhan.

“Jika isu kos, nisbah, gaji dan trauma pengasuh ini tidak ditangani segera, lebih banyak taska akan gulung tikar dan akhirnya yang rugi ialah ibu bapa dan anak-anak,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!