‘Belanja tinggi tapi perolehan lemah’, Anwar tegur ketirisan pertahanan

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap kelemahan sistem perolehan dalam sektor pertahanan negara walaupun perbelanjaan tinggi telah dilakukan sejak sekian lama.
Menurutnya, kelewatan dalam mendapatkan aset ketenteraan seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) bukan sahaja memalukan, malah menjadi bahan jenaka dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti negara di peringkat antarabangsa.
“Kita ada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) di Langkawi. Bila terima tabik hormat dari semua negara dan pasukan tenteranya, laut dunia atau yang menyertai di Langkawi, saya rasa cukup tersinggung.
“Ini kerana sebagai negara yang mencatat pembangunan dan pertumbuhan yang membanggakan, perolehan kita sangat lemah walaupun belanja tinggi.
“Seperti yang kita tahu, LCS dan kapal-kapal lain tak sampai-sampai... jadi bahan jenaka bertahun-tahun,” katanya pada Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Mildef International Technologies Sdn Bhd, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar memberi peringatan agar sistem perolehan negara dibersihkan daripada amalan tidak telus dan pengkhianatan yang melemahkan kekuatan pertahanan negara.
“Saya ucap terima kasih kepada Mohamed Khaled dalam Jemaah Menteri yang menegaskan hal sama, iaitu mesti ada sistem perolehan yang telus dan mesti ada penyelesaian penuh daripada Panglima serta kepakaran teknikal untuk meninggalkan cara-cara bobrok yang menjadi satu pengkhianatan.
“Kita ada pasukan tentera yang tugasnya mempertahankan negara tetapi ada lubuk di situ yang sebenarnya menghancurkan kekuatan kita demi mengaut keuntungan daripada usaha perolehan,” katanya.
Beliau meluahkan kebimbangan terhadap laporan berhubung penglibatan anggota badan risikan tentera dalam kegiatan penyeludupan dan salah guna kuasa baru-baru ini.
“Walaupun masih terkawal dan Menteri serta Panglima beri jaminan tetapi negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan badan risikan tentera terlibat dalam usaha penyeludupan dan pengkhianatan.
“Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih untuk mempertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, institusi pertahanan sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat dari segi semangat, disiplin dan pengorbanan.
Mengulas mengenai LIMA, Anwar berkata, negara kekurangan aset canggih untuk dipamerkan kepada negara luar yang hadir seperti India, Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Disebabkan tiada kapal baharu dan canggih, kita terpaksa pamer kapal lama, ada satu dari Yarrow Shipbuilders, UK yang juga terpalit skandal besar. Saya masih ingat masa itu saya Menteri Kewangan, berdepan tekanan hebat dari Kementerian Pertahanan.
“Akhirnya, kapal tahun 1976 juga yang kita bawa keluar, tapi saya tabik kepada anak-anak kapal. Walaupun kapal kecil dan lama, mereka bersemangat dan berdisiplin tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi amaran bahawa sebarang penyelewengan dalam perolehan pertahanan mesti disiasat secara menyeluruh oleh semua pihak berkaitan.
“Kalau ada yang belum belajar dari kes-kes kecurangan sebelum ini dan masih meneruskan amalan sama, maka jentera siasatan termasuk polis, SPRM dan tentera tidak boleh ambil ringan.
“Mesti ada siasatan agar ia jadi pengajaran kepada anak bangsa masa depan,” tegasnya.
Anwar pada masa sama menyatakan keyakinan terhadap keupayaan industri pertahanan tempatan seperti Mildef yang telah berjaya membangunkan aset termasuk kereta perisai.
“Saya hadir kerana saya ambil tahu dan saya percaya kita ada kemampuan. Bila ada kapal atau aset yang diperoleh dengan betul, kita patut beri sokongan,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


