Memorandum penuh cadangan haram vape dibentang sebelum hujung tahun – Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (kiri) meletakkan tangan sebagai simbolik semasa Majlis Perasmian ANMS Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor pada Sabtu.
Dr Dzulkefly (kiri) meletakkan tangan sebagai simbolik semasa Majlis Perasmian ANMS Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pembentangan memorandum penuh berhubung cadangan pengharaman rokok elektronik atau vape kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan awal mengenai cadangan itu sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat, manakala jawatankuasa kepakaran KKM sedang melengkapkan laporan terperinci sebelum diserahkan semula untuk pertimbangan kerajaan.

“Sekurang-kurangnya kita jangkakan pembentangan memorandum penuh dapat dibuat sebelum hujung tahun ini.

“Selepas itu, barulah keputusan muktamad mengenai pengharaman vape dapat dilaksanakan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor 2.0 2025 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Sabtu.

Dr Dzulkefly menjelaskan, KKM tidak mahu menetapkan tarikh tertentu kerana ingin memastikan pelaksanaan dilakukan secara menyeluruh dan tidak separuh jalan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri komited terhadap usaha itu dan kerap mengingatkannya agar menyegerakan proses ke arah pengharaman tersebut.

"Seperti yang saya sebutkan, isu vape bukan soal ia diharamkan tetapi bila kerana kita sudah ada Akta 852 yang mengawal selia produk merokok termasuk vape.

"Bagaimanapun, untuk pengharaman sepenuhnya, ia perlu dilaksanakan secara tuntas di seluruh negara," jelasnya.

Pada Khamis, Dr Dzulkefly memaklumkan laporan terperinci berhubung cadangan pengharaman vape sedang dilengkapkan jawatankuasa kepakaran KKM.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik oleh sesetengah pihak dan menegaskan perkara itu tidak wajar diperbesarkan, sebaliknya diberi ruang untuk diperbetulkan.

Beliau berkata, perkara tersebut harus dilihat secara berlapang dada kerana ia mungkin berlaku tanpa disengajakan.

"Saya yakin mereka sebenarnya mahu menunjukkan semangat patriotisme, namun jika berlaku kesilapan, kita harus beri peluang untuk diperbetulkan kerana manusia itu sifatnya tidak lari daripada kesilapan,” katanya.

Menurutnya, semangat mengibarkan Jalur Gemilang perlu datang daripada hati yang ikhlas demi mengangkat martabat negara.

"Paling penting, gerak hati kita ikhlas, jujur dan penuh semangat cinta kepada tanah air. Kalau ada kesilapan kecil, janganlah terus menghukum.

"Berilah keringanan kerana kita semua mahu mengibarkan bendera dengan semangat kebersamaan,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!