Terengganu tidak benarkan sebarang penajaan syarikat vape – Exco

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu tidak membenarkan sebarang bentuk penajaan daripada syarikat vape ke atas mana-mana program anjuran kerajaan negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, larangan itu turut meliputi pemasangan iklan atau papan tanda berkaitan produk vape di premis perniagaan di seluruh Terengganu.

"Kita tidak akan beri lesen kepada mana-mana premis untuk menjual vape. Semua bentuk penajaan, promosi atau penglibatan syarikat vape dalam sebarang acara atau program anjuran kerajaan negeri juga tidak dibenarkan.

"Ini adalah usaha untuk menyelamatkan generasi Terengganu, tanpa mengira bangsa dan agama daripada kesan buruk vape yang telah diketahui umum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.

Menurut Wan Sukairi, kerajaan negeri turut memberi jaminan untuk membantu pekerja dalam industri rokok elektronik (vape) yang terjejas susulan larangan penjualan produk berkenaan di semua premis bermula 1 Ogos lalu.

Katanya, bantuan kepada golongan terlibat telah dimaklumkan lebih awal dan dilaksanakan menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Sejak dari awal lagi kita sudah maklumkan bahawa kerajaan negeri akan bantu mereka yang terjejas.

"YPU mengambil inisiatif melaksanakan beberapa siri kursus keusahawanan kepada mereka supaya boleh beralih ke bidang lain yang lebih sesuai," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesemua individu yang dikenal pasti terlibat akan mengikuti kursus berkenaan secara berperingkat.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga memberi tempoh tiga bulan kepada pengusaha untuk menghabiskan stok sedia ada sebelum larangan itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Tempoh ini diberikan hasil perbincangan dan rayuan daripada persatuan vape. Kita tidak terus buat penguatkuasaan serta-merta kerana faham pengusaha perlukan masa untuk membuat penyesuaian," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penjualan produk vape secara dalam talian berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri dan tiada tindakan boleh diambil.

Bagaimanapun, tegasnya, lesen premis perniagaan berkaitan vape tidak lagi diperbaharui sejak 1 Ogos lalu sebagai sebahagian langkah penguatkuasaan larangan itu.

Katanya, larangan tersebut selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang menekankan aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!