Rumah Ngaji Al-Syukriah bukti istiqamah komuniti Felcra

PASIR SALAK - Bermula dengan kelas iqra, usaha komuniti Felcra Seberang Perak di Surau Al-Syukriah kini berkembang menjadi Rumah Ngaji rasmi dengan penglibatan lebih 120 peserta.
Penggerak Rumah Ngaji Surau Al-Syukriah, Mariam Nyajul berkata, kelas mengaji itu bermula secara kecil-kecilan sekitar tahun 2000 sebelum dihentikan seketika dan disambung semula sehingga hari ini.
Katanya, pengajian yang dahulu hanya menumpukan bacaan iqra kini semakin luas dengan adanya kuliah dan kelas al-Quran yang lebih tersusun.

“Dulu hanya beberapa orang sahaja, kini sudah mencecah lebih 120 peserta termasuk mereka yang datang dari Bukit Chawi, Kampung Sungai Buaya dan Rancangan Tanah Belia Khas Padi.
"Majoritinya terdiri daripada wanita dan suri rumah yang mahu memperbaiki bacaan al-Quran," katanya sempena Majlis Perasmian Rumah Ngaji Al-Syukriah Felcra Seberang Perak di sini pada Ahad.
Majlis perasmian disempurnakan, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan turut dihadiri Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun.
Beliau menambah, penubuhan Rumah Ngaji memberi peluang kepada peserta yang sudah mahir untuk membimbing mereka yang baru belajar, sekali gus mengukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
Rumah Ngaji Surau Al-Syukriah merupakan Rumah Ngaji ke-19 diwujudkan di kawasan Seberang Perak di bawah kelolaan Mohammad Khalil Khalid selaku Penyelaras Rumah Ngaji Kawasan Seberang Perak.

Sementara itu, Normah Hanum dalam ucapannya berkata, setakat ini terdapat lebih 200 Rumah Ngaji di seluruh negeri membuktikan keazaman masyarakat, khususnya wanita dalam mendalami ilmu al-Quran.
Bagaimanapun beliau berharap, lebih ramai lelaki turut serta kerana al-Quran perlu dijadikan amalan seisi keluarga.
"Kalau ibu sahaja yang istiqamah, tidak cukup untuk membentuk asas masyarakat yang kuat. Bawa sekali anak-anak dan suami, jadikan bacaan al-Quran sebagai budaya keluarga," katanya.
Menurutnya, Rumah Ngaji juga perlu berperanan sebagai pusat melahirkan contoh akhlak yang baik, sekali gus memberi imej positif kepada masyarakat Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

