Harold’s Bread maafkan individu sebar tuduhan tidak berasas isu pencemaran makanan

SUBANG JAYA - Syarikat rangkaian bakeri tempatan, Harold’s Bread Sdn Bhd memaafkan individu yang menularkan dakwaan berunsur fitnah mengenai pencemaran makanan di premis mereka baru-baru ini.
Pengarahnya, Mohd Nurazrul Nordin berkata, beliau memaafkan pelaku, Muhamad Faiz Zainusham atas penyebaran maklumat tidak berasas itu dan berharap individu terbabit diberi petunjuk ke arah yang lebih baik.
“Fokus utama saya sekarang ialah masa depan. Bagaimana saya hendak bina semula kepercayaan pelanggan-pelanggan saya. Tambah lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah pun mengeluarkan hasil siasatan dan mengesahkan aduan tersebut tidak berasas.
"Hasil pemeriksaan mereka juga mengesahkan premis kami di tahap kebersihan memuaskan dan tidak terdapat sebarang risiko yang jelas untuk berlakunya pencemaran seperti kehadiran cicak dalam peringkat penyediaan makanan,” katanya ketika sidang media penjelasan rasmi isu tular Harold’s Bread di Mydin USJ di sini pada Khamis.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang juga Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera (BRO) dan peguam, Norhasham Hasan serta Muhamad Faiz.
Sebelum ini, Muhamad Faiz memuat naik hantaran di platform Threads, mendakwa bapanya menemui seekor tikus dalam roti yang dibeli di cawangan Harold’s Bread di Taiping, Perak.

Mengulas lanjut, Mohd Nurazrul memaklumkan bahawa ini adalah kali pertama syarikat menghadapi isu besar seperti ini sepanjang 14 tahun penglibatannya dalam industri.
Ujarnya, dakwaan yang tidak berasas tersebut telah menjejaskan reputasi serta keyakinan pelanggan terhadap jenama Harold's Bread.
"Syarikat mengalami kerugian sangat besar, lebih 50 peratus pendapatan harian terjejas selepas kejadian berkenaan.
“Mungkin ALLAH hendak duga saya kali ini. Insya-ALLAH, harapan saya selepas penjelasan ini dibuat, orang ramai akan lebih mengenali Harold’s Bread. Saya akan kembangkan lagi daripada 67 cawangan yang ada ini untuk kembali bangkit,” katanya.
Sementara itu, Ameer Ali turut berpesan kepada orang ramai agar tidak terlalu mudah percaya kepada perkara yang tular.
"Semak sebaiknya fakta yang betul bagi sesuatu perkara dan berhati-hatilah dalam setiap tindakan kita untuk membuat hantaran di media sosial.
“Kesan apabila tersilap langkah sangat besar. Jika hendak membuat aduan, buatlah di tempat yang betul,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

