Dakwaan wujud pasukan sorak MB di Himpunan RXZ Members 7.0 tidak berasas - Mohd Soud

Tangkap layar memaparkan tulisan Shamsul Iskandar yang dikatakan mendakwa wujud pasukan sorak MB Terengganu pada acara pelancaran Himpunan RXZ di Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu. (Gambar kanan: Mohd Soud)
Tangkap layar memaparkan tulisan Shamsul Iskandar yang dikatakan mendakwa wujud pasukan sorak MB Terengganu pada acara pelancaran Himpunan RXZ di Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu. (Gambar kanan: Mohd Soud)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Dakwaan kononnya wujud ‘pasukan sorak’ Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program Himpunan RXZ Members 7.0 disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Mohd Soud Said berkata, tuduhan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hanyalah cubaan mengalih perhatian selepas ditolak oleh peminat permotoran.

Beliau menegaskan, individu yang berada di barisan hadapan pentas ketika acara berlangsung hanyalah rakyat biasa serta peminat motosikal RXZ yang menolak usaha mempolitikkan program tersebut.

“Sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang mahu acara santai seperti ini kekal sebagai ruang komuniti, bukan bahan catur politik elit,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Soud, majoriti pengunjung hadir untuk meraikan semangat komuniti permotoran ketika masyarakat setempat turut membantu dengan menyediakan penginapan, minyak dan makanan percuma demi menjayakan acara berkenaan.

Katanya, kerajaan Terengganu juga sentiasa menyokong penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat melalui penyediaan fasiliti, promosi serta bantuan keselamatan.

“Fitnah serta manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Sebelum ini, ucapan Shamsul Iskandar pada majlis pelancaran Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus sedikit terganggu apabila terdapat bunyi sorakan sepanjang majlis berlangsung.

Turut tular di media sosial tangkap layar memaparkan tulisan Shamsul Iskandar yang dikatakan mendakwa wujudnya pasukan sorak Menteri Besar Terengganu itu yang didakwa berada di barisan hadapan dalam acara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!