Thaksin bebas tuduhan hina raja Thailand

Thaksin Shinawatra meninggalkan Mahkamah Jenayah di Bangkok.-AFP
Thaksin Shinawatra meninggalkan Mahkamah Jenayah di Bangkok.-AFP
A
A
A

BANGKOK – Mahkamah Jenayah Thailand pada Jumaat membebaskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, daripada tuduhan melanggar undang-undang ketat lese-majeste (hina raja) selepas mendapati bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

Thaksin, 76, yang juga ahli perniagaan bergelar bilionair, dituduh menghina institusi diraja melalui satu wawancara bersama media asing pada tahun 2015 ketika beliau berada di Korea Selatan.

“Saya lega dan bersyukur. Semoga ini menjadi permulaan baharu buat saya dan juga negara,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Tuduhan itu difailkan pada 2016 oleh kerajaan tentera ketika Thaksin masih berada dalam buangan, sebelum diaktifkan semula tahun lalu selepas kepulangannya ke Thailand.

Thaksin sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan berulang kali menegaskan kesetiaannya kepada Raja, yang dilindungi Perlembagaan Thailand sebagai institusi yang dianggap suci dan dihormati.

Kes berkenaan dianggap paling berprofil tinggi daripada lebih 280 pendakwaan di bawah undang-undang lese-majeste sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun sudah bersara, Thaksin kekal sebagai figura berpengaruh dalam politik Thailand selepas pulang ke tanah air pada 2023.

Selain itu, Thaksin juga menanti satu lagi ujian besar pada September apabila Mahkamah Agung akan memutuskan sama ada tempoh enam bulan tahanan hospitalnya sebelum dibebaskan bersyarat pada 2024 boleh dikira sebagai hukuman penjara yang telah dijalani. Jika tidak, beliau mungkin terpaksa menjalani baki hukuman tersebut semula.- AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!